KUALA LUMPUR: Uruguay meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Republik Dominika pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Memetik laporan Berita Harian, Uruguay tampil menentang pasukan lawan yang menghuni ranking ke-142 dunia tanpa nama-nama besar dan memberi peluang kepada barisan kedua mereka untuk memperaga kemampuan.
Juara dunia dua kali dari Amerika Selatan itu yang kini berada di ranking ke-15 dunia itu sudahpun mengesahkan slot ke Piala Dunia 2026.
Meskipun lebih banyak menguasai babak pertama namun Uruguay bergelut untuk mencari gol pembukaan sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir tanpa jaringan.
Republik Dominika berjaya memberi saingan yang sengit apabila berjaya melancarkan empat percubaan tepat ke gawang Uruguay sepanjang perlawanan.
Bersambung babak kedua, Uruguay mengemaskan asakan dan jaringan yang dicari muncul pada minit ke-60 menerusi penyudah Ignacio Laquintana.
Keputusan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk kemenangan mutlak buat Uruguay.
Selepas ini, Uruguay akan menentang pasukan di ranking ke-54 dunia, Uzbekistan di Stadium Hang Jebat pada Isnin. – BH Online –
IMedikel TV






