Home Buletin Semasa LEBIH 20,000 RAKYAT SERTAI PELAYARAN TANDA SOLIDARITI BUAT PALESTIN

LEBIH 20,000 RAKYAT SERTAI PELAYARAN TANDA SOLIDARITI BUAT PALESTIN

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Lebih 20,000 rakyat pelbagai lapisan termasuk nelayan, pemilik bot laju, aktivis, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pondok, pempengaruh dan orang awam menyertai Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza, hari ini.

Program anjuran Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia dengan kerjasama Komuniti Floating Market Sri Tanjung itu berlangsung meriah dengan laungan “Hidup, hidup Palestin! Hancur, hancur Israel!” yang bergema di sepanjang Sungai Kelantan.

Bermula jam 3.30 petang hingga 7 malam, peserta berlayar sejauh tujuh kilometer dari Pulau Pisang ke Lembah Sireh sambil mengibarkan bendera Palestin, mengalunkan selawat dan membaca Qunut Nazilah sebagai tanda doa serta keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Gaza.

Tekong bot, Zamri Mohd Diah, 44, berkata beliau bersama beberapa rakan menaja sebuah bot khas membawa 40 penumpang termasuk wakil NGO dan penaja bagi menyertai pelayaran tersebut.

“Kami mahu menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia sentiasa cakna dengan penindasan yang berlaku di Palestin,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV.

Bagi suri rumah Zamiah Hanim Othman, 30, yang hadir bersama tiga anaknya dari Kota Bharu, penyertaan itu menjadi simbol sokongan dan pendidikan kepada anak-anak tentang makna perjuangan dan rasa syukur.

“Untuk ke Gaza jauh beribu batu, jadi kami ambil peluang ini untuk tunjuk bahawa kami bersama mereka dan turut merasai penderitaan rakyat Palestin,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Mohd Khairul Hafiz Hassan, berkata acara kali kedua itu adalah yang terbesar pernah diadakan dengan penyertaan 780 bot sukarelawan dari tiga negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Tujuan utama kami adalah menzahirkan sokongan kepada umat Islam di Palestin serta menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak berdiam diri terhadap kekejaman Zionis Israel. “Kami mahu dunia tahu bahawa rakyat Malaysia tidak pernah meminggirkan isu Palestin,” katanya.

Menariknya, 11 ahli Persatuan Orang Pekak Kelantan turut serta menaiki bot sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Menurut Mohd Khairul, penganjur akan terus memperluas inisiatif seumpama itu agar rakyat tidak melupakan perjuangan saudara seagama di bumi Palestin.

“Kita mungkin tidak mampu berperang atau memberi bantuan besar, tetapi sekurang-kurangnya kita bersuara dan menunjukkan solidariti semampu mungkin,”katanya.

Program turut diserikan dengan simulasi kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin serta adegan penahanan tentera Zionis ke atas bot misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here