Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Influenza A kembali menjadi kebimbangan kepada masyarakat khususnya ibu bapa apabila di media sosial tular kerana terdapat sekolah diarahkan tutup akibat penyakit tersebut.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan pada Isnin, mengesahkan 15 kluster baharu jagkitan infleunza dan saluran pernafasan dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 39/2025 berbanding tiga kluster minggu sebelumnya dengan majoriti membabitkan institusi pendidikan termasuk sekolah dan tadika tanpa kematian dilaporkan.
KKM dalam kenyataan memaklumkan jumlah keseluruhan setakat ini adalah 214 kluster, berkurang 33 pertaus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut perkongsian Dr Mohd Ramzdhan Mohd Masdar di laman doconcall, demam influenza adalah sejenis jangkitan saluran udara bawah.
Virus ini mempunyai beberapa jenis seperti jenis A dan B.
Apa itu influenza A dan B? Kedua-dua jenis virus ini boleh menjangkiti manusia dengan jenis A juga boleh menjangkiti spesis haiwan.
Influenza A adalah jenis yang lebih kerap menyerang manusia dan mempunyai banyak lagi sub-set sebagai contoh influenza A H1N1.
Bagaimana virus ini ditularkan? Virus ini sememangnya berada dalam komuniti tetapi tidak berapa aktif untuk menjadi wabak.
Ianya selalu menjadi wabak di negara kita pada musim hujan dimana penyebarannya ketika itu lebih meluas. Virus ini disebarkan melalui orang ke orang dengan beberapa cara iaitu:
- Melalui batuk
- Melalui bersin
- Menyentuh permukaan yang disentuh pesakit
- Titisan seperti daripada air liur pesakit
Oleh sebab jangkitan virus ini mempunyai beberapa persamaan dengan jangkitan lain, adalah penting untuk ibu bapa mahupun orang ramai untuk cakna akan simptom influenza B pada orang dewasa, simptom influenza A pada orang dewasa, simptom influenza B pada kanak-kanak dan juga jenis A pada mereka berikutan risiko kesihatan yang boleh dialami pesakit.

Antara gejala-gejala yang perlu diambil tahu adalah seperti:
- Demam – Apa yang membezakan demam bagi jangkitan influenza dan demam sakit-sakit lain adalah suhu pesakit selalunya tinggi dan diantara 38 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius dan boleh bertahan sehingga 3-4 hari. Bagi kanak-kanak, mereka lebih mudah mendapat suhu yang tinggi berbanding orang dewasa.
- Sakit sendi dan otot – Antara simptom utama jangkitan virus ini adalah sakit sendi yang jarang dijumpai dalam selesema biasa.
- Selesema – Gejala ini juga kerap menjadi yang pertama timbul dan menyebabkan kesukaran doktor untuk menentukan samada ianya adalah selsema biasa ataupun jangkitan influenza melainkan jika sememangnya terdapat wabak virus ini pada ketika itu.
- Batuk – Oleh sebab virus ini menjangkiti saluran udara bawah, maka ia akan mencetuskan keradangan pada saluran udara dan juga tindak balas (refleks) batuk bagi badan mengeluarkan virus ini daripada badan.
- Menggigil – Mungkin anda akan tertanya-tanya mengapa simptom ini penting bukan? Hal ini kerana gejala ini tidak dijumpai dalam semua kes demam dan sekiranya pesakit mempunyai simptom ini, ia boleh membantu doktor mengarahkan perhatian mereka kepada jangkitan oleh virus ini berbanding penyakit-penyakit lain.
- Sakit kepala – Simptom ini tidak berapa khusus kepada demam influenza ini namun ianya masih penting untuk membezakan antara selesema dan penyakit influenza ini.
- Muntah dan Cirit-birit – Bagi sesetengah pesakit terutamanya kanak-kanak, mereka juga boleh mengalami simptom ini berbanding dengan orang dewasa. Dan sekiranya teruk, maka rawatan khusus di hospital adalah diperlukan bagi mengelakkan dehidrasi.

Bagaimanapun terdapat golongan yang mudah mendapat jangkitan virus ini dan berpotensi mempunyai komplikasi yang lebih tinggi. Golongan ini adalah termasuk:
- Kanak-kanak – Sering kali kita mendengar mangsa yang dijangkiti adalah kanak-kanak sehinggakan sekolah terpaksa ditutup. Oleh sebab sistem imun kanak-kanak belum cukup matang dan kuat bagi melawan jangkitan ini berbanding orang dewasa, maka golongan ini adalah lebih mudah mendapat demam ini. Hal ini lebih membimbangkan bagi mereka yang berusia bawah 5 tahun dimana kadar kematiannya adalah lebih tinggi.
- Wanita mengandung – Ketika hamil, imun sistem wanita akan menjadi sedikit lemah dan sekiranya berlaku wabak ini, maka mereka berisiko untuk dijangkiti.
- Warga emas- Sama halnya dengan wanita mengandung, kekuatan sistem imun bagi warga tua juga menurun dan hal ini bertambah parah apabila ditambah dengan penyakit-penyakit yang dialami kebanyakkan oleh golongan ini.
- Pesakit kronik – Antara penyakit-penyakit kronik seperti COPD, penyakit jantung, kencing manis dan penyakit buah pinggang sering menyebabkan golongan ini mudah dijangkiti virus ini. Ianya tidak difahami sepenuhnya mengapa perkara ini terjadi.
- Pesakit imun lemah – terdapat beberapa golongan pesakit yang terdedah untuk mengalami sistem imun lemah seperti pesakit kanser, pesakit yang memerlukan ubat anti-imun dan steroid ataupun penerima organ.
Terdapat beberapa untuk penyakit ini. Antibiotik tidak dapat melawan demam yang disebabkan virus. Untuk demam influenza ini kebanyakkan kes yang tidak serius, mereka tidak memerlukan rawatan. Namun begitu, sesetengahnya memerlukan rawatan seperti:
- Ubat anti-virus – Ubat antivirus jarang diberikan kerana demam ini biasanya akan surut sendiri bagi orang yang sihat. Ubat antivirus yang diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi dan diberikan dalam tempoh 48 jam selepas timbul gejala pertama.
- Rawatan hidrasi – Bagi kanak-kanak atau pesakit yang mengalami simptom-simptom dehidrasi, adalah penting untuk merawat segera dehidrasi bagi mengelakkan “kejutan hipovolemik”.
- Antibiotik – Seperti yang dinyatakan diatas, antibiotik tidak diberikan untuk jangkitan virus namun sesetengah pesakit influenza mempunyai risiko jangkitan bakteria sekunder terutamanya mereka yang mempunyai penyakit pernafasan.
- Ubat tahan sakit – Bagi mereka yang benar-benar tidak tahan sakit sendi dan otot
Jadi untuk mengelakkan virus tersebut mendekati kita, ia boleh dicegah dengan cara seperti berikut:
- Membasuh tangan dengan sabun dan air selepas makan, ke tandas ataupun menyentuh permukaan yang disentuh pesakit
- Memakai topeng muka
- Mengelakkan kawasan yang ramai orang
- Mengambil vaksin influenza tahunan bagi mereka yang berisiko tinggi
- Pengasingan pesakit yang positif

KKM menyarankan agar pihak sekolah memantau pelajar yang bergejala dan memastikan pengasingan dilaksanakan dengan segera khususnya yang tinggal di asrama.
KKM juga menggalakkan pemakaian pelitup muka bagi murid, guru dan petugas yang bergejala atau berisiko tinggi.
IMedikel TV






