SEPANG: Ardell Aryana rebah sebaik menghampiri pintu bas yang membawa sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dan keluarga masing-masing keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.
Memetik laporan Berita Harian, Ardell yang ketika itu dilihat mengendong anak sulung, tampak pucat dan tidak bermaya, sebelum rebah di celah lautan manusia yang hadir memberi sokongan kepada sukarelawan GSF.
Insiden itu menyebabkan keadaan menjadi cemas seketika. Namun, polis bantuan bergegas memaut Ardell dan membawanya masuk ke dalam bas.
Sementara itu, suami Ardell, iaitu Nadzmi Adhwa yang berada di belakang, dilihat segera meluru ke arah isterinya, selepas melihat keadaan mencemaskan itu.
Video menunjukkan Ardell rebah ketika menghampiri pintu bas yang membawa sukarelawan GSF dan keluarga pulang dari KLIA.
Ardell tiba di KLIA bersama 22 sukarelawan GSF kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Mereka diraikan setelah menyertai misi kemanusiaan GSF. Turut menyambut anggota sukarelawan adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil
Sabtu lalu, semua 23 sukarelawan GSF dibebaskan selepas ditahan sejak 2 Oktober lalu dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Selebriti Zizi Kirana, Ardell, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi adalah sebahagian daripada lebih 500 sukarelawan dari seluruh dunia yang menyertai GSF sejak September lalu. – BH Online –
IMedikel TV






