LONDON: Bukayo Saka mencatat sumbangan gol ke-100 di Liga Perdana Inggeris (EPL) pada penampilan ke-200nya dalam saingan tertinggi bola sepak England sekali gus menerima pujian daripada lagenda Arsenal, Thierry Henry.
Memetik laporan AGensi menerusi Harian Metro, selepas sebahagian besar kempen 2024–25nya terjejas akibat kecederaan hamstring jangka panjang, Saka sudah pun menjaringkan tiga gol dalam tujuh penampilan musim ini, dengan gol terbarunya hadir ketika Arsenal menewaskan West Ham 2–0.
Pemain antarabangsa England itu menyempurnakan penalti pada minit ke-67 untuk menjaringkan gol kedua Arsenal bagi membantu pasukan kendalian Mikel Arteta meraih tiga mata yang membawa mereka ke puncak carta EPL menjelang rehat antarabangsa Oktober.
Jaringan itu adalah gol ke-55 Saka di EPL menjadikannya 100 sumbangan gol apabila digabungkan dengan 45 bantuan jaringannya. Pencapaian bersejarah ini hadir tepat pada hari penampilan ke-200 Saka dalam saingan EPL.
Selepas kemenangan Arsenal dan pencapaian peribadi Saka, lagenda kelab Thierry Henry mengucapkan tahniah kepadanya menerusi Instagram.
“Dari AKADEMI ke EMIRATES,” tulis Henry. “Dari PENAMPILAN PERTAMA ke 200 PERLAWANAN LIGA PERDANA, dengan 55 GOL dan 45 ASSIST!!!
“TERUSKAN USAHA BUKAYO!!!!!! Saya SANGAT BANGGA dengan KAMU.”
Dengan gol menentang West Ham itu, Saka menyertai Henry dalam kelab eksklusif dan mereka kini satu-satunya pemain dalam sejarah Arsenal yang berjaya menjaringkan gol dalam penampilan ke-200 EPL mereka.
Henry menjaringkan dua gol menentang Crystal Palace pada Februari 2005 sempena perlawanan ke-200nya.
Saka masih mempunyai jalan yang panjang sebelum mampu menyamai pencapaian Henry semasa eranya bersama Arsenal, tetapi penyerang muda itu kini perlahan-lahan mengukir namanya dalam sejarah kelab.
Dia kini hanya memerlukan sembilan lagi sumbangan gol untuk menjadi pemain kelima dengan sumbangan gol terbanyak dalam sejarah EPL Arsenal. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






