Home Buletin Semasa KPDN KELANTAN LARANG SERAH MYKAD KEPADA PENYELUDUP BELI PETROL BERSUBSIDI

KPDN KELANTAN LARANG SERAH MYKAD KEPADA PENYELUDUP BELI PETROL BERSUBSIDI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan menasihatkan orang ramai agar tidak menyerahkan kad pengenalan (MyKad) kepada pihak lain bagi tujuan pembelian petrol bersubsidi BUDI95 di stesen minyak khususnya di kawasan sempadan.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata pihaknya maklum bahawa terdapat individu, khususnya di kawasan berdekatan sempadan, yang meminjamkan MyKad mereka kepada penyeludup bagi membolehkan petrol bersubsidi dibeli menggunakan identiti penerima yang sah.

“Ada yang hanya memiliki motosikal, tetapi menyerahkan MyKad kepada penyeludup supaya mereka boleh beli petrol pada harga RM1.99 seliter. Tindakan ini salah dan tidak sepatutnya berlaku,” kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Madani di bawah Inisiatif Payung Rahmah, di Mukim Che Latif, Pantai Mek Mas, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap penerima BUDI95 hanya layak menerima kuota maksimum 300 liter sebulan, dan kuota itu mesti digunakan pemilik sah MyKad sendiri.

“Kuota itu untuk kegunaan sendiri, bukan untuk diberi kepada orang lain. Bila bagi MyKad kepada penyeludup, itu sudah jadi kesalahan.

“Kami di KPDN perlu memastikan bekalan untuk rakyat mencukupi,” tegasnya.

Azman menjelaskan, penyeludup mengambil kesempatan daripada harga subsidi untuk mengaut keuntungan mudah dengan menjual semula petrol berkenaan ke negara jiran.

“Walaupun harga subsidi cuma RM1.99 seliter, jika dibawa ke seberang, margin keuntungannya jauh lebih besar.

“Keuntungan dia masih lagi ada margin RM3 untuk 1 liter. Kalau satu tong tu 30 liter bersamaan RM90. Jadi mereka mendapat untung bersih RM90,” katanya.

Azman dalam masa sama menasihatkan penerima subsidi supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan permintaan pihak tertentu yang mahu meminjam MyKad bagi mendapatkan petrol murah.

“MyKad itu hak peribadi. Jangan sewenang-wenangnya serah kepada orang lain. Kita mahu pastikan bekalan petrol bersubsidi ini cukup untuk rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, KPDN akan terus memperketat pemantauan di kawasan sempadan dan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras penyalahgunaan subsidi bahan api.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here