Home Buletin Semasa KPDN KELANTAN KESAN LEBIH 10 KES SALAH GUNA LABEL JUALAN RAHMAH

KPDN KELANTAN KESAN LEBIH 10 KES SALAH GUNA LABEL JUALAN RAHMAH

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan mengesan lebih 10 kes membabitkan penyalahgunaan label Jualan Rahmah di beberapa premis jualan di negeri ini setakat September lalu.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata pihaknya menerima beberapa aduan daripada orang awam yang mendapati ada peniaga melakukan kesalahan tersebut pada premis dan produk jualan walaupun tidak berdaftar dengan KPDN.

“Setakat ini, kita sudah mengesan lebih 10 kes di seluruh Kelantan, termasuk satu kes terbaharu di Kadok bulan lalu.

“Mereka tidak berdaftar dengan KPDN dan meletakkan harga sesuka hati mereka.

“Sepatutnya peniaga perlu membuat permohonan kepada pihak KPDN untuk mengadakan Jualan Rahmah dan proses kelulusan mengambil masa sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Ihsan Madani di bawah Inisiatif Payung Rahmah, di Mukim Che Latif, Pantai Mek Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden ATH Group, Norlisan Ramzai.

Beliau menjelaskan, peniaga terbabit menggunakan label “Rahmah” bagi menarik pelanggan dengan memberi tanggapan kononnya mereka menawarkan harga lebih murah, sedangkan harga yang dijual adalah harga biasa.


“KPDN memberi potongan harga sekitar 10 hingga 30 peratus bagi barangan di bawah program Jualan Rahmah.

“Tetapi sebenarnya mereka jual pada harga biasa, cuma guna nama Jualan Rahmah. Jadi rakyat tertipu.

“Mereka hanya menggunakan label Jualan Rahmah untuk menarik pembeli,” katanya.

Azman berkata, pihaknya memandang serius perkara ini kerana ia boleh mengelirukan pengguna, lebih-lebih lagi apabila ada peniaga yang mendakwa menjual barangan Jualan Rahmah walaupun tidak mematuhi senarai dan harga barangan yang ditetapkan dalam garis panduan program tersebut.

Menurut beliau, setakat ini tiada tindakan kompaun dikeluarkan, sebaliknya pihak KPDN memberi nasihat dan amaran awal kepada peniaga terbabit supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

“Kita turun ke lokasi, beri nasihat dulu. Kalau selepas ditegur masih berdegil, barulah tindakan tegas diambil,” jelasnya.

Tambah beliau, kes-kes yang dikesan bukan sahaja membabitkan koperasi dan pasar raya, malah turut membabitkan kedai runcit dan pasar mini di sekitar Kota Bharu dan Tumpat.

Setakat ini, tiada kes membabitkan kontraktor atau pembekal lain dikesan.

Azman turut menjelaskan bahawa KPDN mempunyai 25 jenis barangan yang tersenarai dalam senarai harga Jualan Rahmah, termasuk barangan asas tertentu, namun tidak semua produk boleh dimasukkan di bawah program tersebut.

“Contohnya susu tepung bayi tidak termasuk dalam senarai barang Jualan Rahmah. Tetapi ada peniaga tetap jual guna label itu juga. Ini yang kita tegur,” katanya.

Beliau turut menyeru orang awam supaya melaporkan kepada KPDN sekiranya terdapat mana-mana premis yang mencurigakan menggunakan perkataan Jualan Rahmah tanpa kebenaran.

“Kalau jumpa, maklum kepada kita. Kita akan semak sama ada harga dan barang yang dijual itu selaras dengan ketetapan KPDN,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here