Home Luar Negara ‘KAMI DILAYAN SEPERTI HAIWAN’ – AKTIVIS GSF

‘KAMI DILAYAN SEPERTI HAIWAN’ – AKTIVIS GSF

311
0

ISTANBUL: Aktivis antarabangsa yang tiba di Istanbul selepas dihantar pulang dari Israel berikutan pemintasan tentera terhadap armada mereka yang menuju ke Gaza pada Sabtu berkata, mereka mengalami keganasan dan “dilayan seperti haiwan.”

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Flotila Sumud Global (GSF) berlayar bulan lalu untuk mengangkut bantuan ke Gaza yang dilanda perang tetapi Israel menyekat bot-botnya, menahan lebih 400 orang yang mula dihantar pulang pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 137 aktivis dari 13 negara terbang ke Istanbul pada hari Sabtu, antaranya 36 warga Turkiye.

“Kami dipintas oleh sejumlah besar kapal tentera,” Paolo Romano, seorang ahli majlis wilayah dari Lombardy di Itali, memberitahu AFP di lapangan terbang Istanbul.

“Beberapa bot turut terkena meriam air. Semua bot itu dibawa oleh orang bersenjata lengkap dan dibawa ke pantai,” kata lelaki berusia 29 tahun itu.

“Mereka mengarahkan kami berlutut, menghadap ke bawah. Dan jika kami bergerak, mereka memukul kami. Mereka mentertawakan kami, menghina kami dan memukul kami,” katanya.

“Mereka menggunakan kedua-dua keganasan psikologi dan fizikal.”

Antara mereka yang menaiki flotila itu, yang membabitkan kira-kira 45 kapal, adalah ahli politik dan aktivis termasuk aktivis iklim dari Sweden, Greta Thunberg.

Romano berkata, pihak berkenaan cuba memaksa mereka untuk mengaku memasuki Israel secara haram.

“Tetapi kami tidak pernah memasuki Israel secara haram. Kami berada di perairan antarabangsa dan adalah hak kami untuk berada di sana.”

Ketika mendarat, mereka dibawa ke penjara dan ditahan di sana tanpa dibenarkan keluar dan tidak diberi air botol, katanya.

“Mereka membuka pintu pada waktu malam dan menjerit ke arah kami dengan pistol untuk menakutkan kami,” katanya.

“Kami dilayan seperti haiwan.”

Iylia Balqis, seorang aktivis berusia 28 tahun dari Malaysia berkata, pemintasan bot Israel adalah “pengalaman paling teruk.”

“Kami digari (dengan tangan di belakang kami), kami tidak boleh berjalan, sebahagian daripada kami disuruh berbaring di atas tanah, dan kemudian kami dinafikan air, dan sebahagian daripada kami dinafikan ubat,” katanya.

Aktivis berkenaan diterbangkan ke Istanbul dengan pesawat Turkish Airlines yang disewa khas.

Dalam catatan di X, kementerian luar Israel mengesahkan “137 lagi provokator armada Hamas-Sumud dihantar pulang hari ini ke Turkiye.”

Saudara-mara aktivis Turkiye boleh dilihat menunggu ketibaan mereka di lounge VIP di dalam lapangan terbang Istanbul, sambil mengibarkan bendera Turki dan Palestin dan melaungkan “pembunuh Israel.”

Aktivis Turkiye itu akan menjalani pemeriksaan perubatan semasa ketibaan dan akan hadir di mahkamah pada Ahad untuk memberi keterangan, kata peguam mereka.

Turkiye mengecam pemintasan Israel terhadap armada itu sebagai “tindakan keganasan”, dengan pada Khamis berkata, ia membuka siasatan mengenainya.

Menteri Luar Negeri Hakan Fidan memuji aktivis itu sebagai “individu berani yang menyuarakan hati nurani manusia” dalam catatan di X dan berkata, Ankara akan memastikan semua warganya dibawa pulang, tanpa memberikan jumlah keseluruhan.

Wartawan Itali, Lorenzo D’Agostino, yang berada di dalam flotila untuk membuat liputan misinya berkata, mereka “diculik di perairan antarabangsa ketika kami berada 55 batu (88 kilometer) dari Gaza.”

“Ia adalah dua hari neraka yang kami habiskan di penjara. Kami keluar sekarang kerana tekanan orang ramai antarabangsa yang menyokong Palestin,” katanya.

“Saya sangat berharap keadaan ini berakhir segera kerana biadab cara kami diperlakukan.”

Aktivis Libya, Malik Qutait berkata, beliau tidak takut dan berikrar untuk terus berusaha untuk ke Gaza.

“Saya akan mengumpul kumpulan saya, menguruskan ubat, bantuan dan kapal dan saya akan cuba lagi,” katanya. – AFP, HMetro –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here