Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Tawaran harga 30 hingga 40 peratus lebih murah daripada pasaran tempatan dipercayai menjadi punca sindiket penyeludupan kenderaan di sekitar Johor Bahru.
Bagaimanapun kegiatan itu dipatahkan apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sembilan buah kenderaan seludup bernilai RM1.46 juta dengan anggaran duti dan cukai RM2.75 juta di Johor Bahru pada Mei lalu.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata sindiket itu dipercayai membabitkan warga tempatan serta Singapura.

“Kita dapat maklumat awam dan menjalankan risikan selama lebih kurang sebulan sebelum melakukan operasi di sekitar Johor Bahru.
“Dalang kegiatan kenderaan seludup ini disyaki dilakukan oleh sindiket dan untuk pasaran di seluruh Malaysia,”katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media, di Pejabat Penguatkuasaan, di sini, hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam berkata antara kenderaan yang dirampas ialah Porsche Panamera dengan nilai termasuk cukai dianggarkan RM1.5 juta, Mercedes Benz (RM566,100 termasuk cukai), Audi A5 (RM150,600 termasuk cukai) dan Jaguar (RM85,000 termasuk cukai), selain beberapa model lain termasuk BMW, Honda dan Suzuki.
Beliau berkata, sindiket dipercayai menyimpan kenderaan dari negara jiran di sekitar Johor Bahru sebelum diedarkan kepada pelanggan tempatan.
Katanya kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lenih besar, atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya.
Dalam masa sama beliau berharap pelaksanaan inisiatif petrol RON95 di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan dapat mengurangkan penyeludupan minya terutamanya di sempadan.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan serta kesejahteraan rakyat,”katanya.
IMedikel TV






