Home Sukan KEHIDUPAN STERLING TIDAK SUSAH SEPERTI AYAH SAYA – MARESCA

KEHIDUPAN STERLING TIDAK SUSAH SEPERTI AYAH SAYA – MARESCA

LONDON: Enzo Maresca berkata kehidupan dua pemain tersisih Chelsea, Raheem Sterling dan Axel Disasi jauh lebih mudah berbanding bapanya yang berusia 75 tahun dan sudah lima dekad mencari rezeki sebagai nelayan.

Memetik laporan AGENSI menerusi Berita Harian Pengurus Chelsea itu ditanya pada sidang media semalam mengenai situasi Sterling dan Disasi yang masih menjalani latihan secara berasingan daripada skuad utama tanpa sebarang peluang untuk kembali.

Kesatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) sedang cuba memastikan kedua-dua pemain itu memperoleh platform latihan yang betul sementara menunggu jendela perpindahan Januari dibuka.

“Ayah saya berusia 75 tahun dan selama 50 tahun beliau menjadi nelayan, bekerja dari jam 2 pagi hingga 10 pagi. Ia baru kehidupan yang sukar. Bukan untuk pemain bola sepak,” kata Maresca.

Sterling, 30, yang masih mempunyai baki dua tahun kontrak, merupakan pemain dengan gaji tertinggi di kelab itu melebihi £300,000 (RM1.7 juta) seminggu.

Baru-baru ini dia memuat naik gambar di Instagram menunjukkan dia berlatih seorang diri di Cobham pada jam 8.21 malam minggu lalu.

Disasi, 27, pula difahamkan menerima sekitar satu pertiga daripada gaji Sterling dan terikat kontrak hingga 2029.

Maresca berkata: “Saya sendiri pernah berada dalam situasi Raheem dan Axel sebagai pemain. Memang bukan perasaan terbaik kerana sebagai pemain, anda mahu berlatih dan bermain perlawanan. Tetapi situasi tetap situasi.

“Saya tahu kelab sudah memberi mereka peluang untuk bekerja dengan cara yang betul. Saya faham ini sesuatu yang anda mahu bincangkan, tetapi ia bukan hanya berlaku di Chelsea. Ia berlaku di mana-mana kelab di dunia.

“Saya boleh jamin di Itali, Sepanyol, England, Perancis, Amerika Syarikat, Brazil, semua kelab. Bila pemain dan kelab tidak menemui jalan penyelesaian, pemain tetap diberi kemudahan untuk berlatih, tetapi kalau anda tidak termasuk dalam skuad, anda tetap tidak termasuk dalam skuad.

“Ia bukan soal Chelsea, ini soal mana-mana kelab.”

Sterling masih belum beraksi walau sekalipun di bawah Maresca. Aksi terakhirnya bersama Chelsea adalah pada Mei 2024 ketika dikendalikan Mauricio Pochettino.

Dia sebelum itu dipinjamkan ke Arsenal sepanjang musim lalu tetapi gagal mencapai tahap cemerlang seperti yang pernah dipamerkan bersama Manchester City. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here