Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, berkenan mencemar duli berangkat ke Program Kelate Charity Walk 2025 yang diadakan sempena penganjuran Kelate Charity Festival di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini, malam semalam.
Keberangkatan baginda mencerminkan keprihatinan tinggi terhadap usaha memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Baginda turut berkenan menyertai acara berjalan kaki bersama rakyat sejauh 2.07 kilometer, yang bermula dan berakhir di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Program berkenaan mencatat penyertaan seramai 3,500 peserta, merangkumi pelbagai peringkat umur dan latar belakang kaum, termasuk penyertaan keluarga.
Keberangkatan Tengku Mahkota Kelantan menyuntik semangat dan rasa bangga dalam kalangan rakyat sekali gus mengangkat martabat festival tersebut sebagai satu platform perpaduan yang berimpak tinggi.
IMedikel TV






