Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seramai 888 mangsa melibatkan 159 keluarga dari Felda Chiku 1 dan Chiku 2 berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti, Chiku 2 selepas hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kilat di kawasan itu, malam semalam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 7.00 malam dan pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.26 malam.
“Kita menghantar enam anggota ke lokasi bagi memberi bantuan, ketika tiba, hujan sudah mulai reda, paras air semakin surut dan keadaan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, mangsa yang terlibat terdiri daripada Felda Chiku 1 dengan 64 keluarga (320 mangsa) manakala Felda Chiku 2 ialah 95 keluarga (568 mangsa).
Semua mangsa telah berpindah secara sukarela lebih awal sebelum paras air meningkat.
Operasi pemantauan turut melibatkan dua jentera termasuk sebuah Hilux dan Urvan yang digerakkan dari BBP Gua Musang.
IMedikel TV






