Home Buletin Semasa EMPAT LELAKI DITAHAN CUBA SELUDUP LEBIH 4,000 LITER PETROL

EMPAT LELAKI DITAHAN CUBA SELUDUP LEBIH 4,000 LITER PETROL

184
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Empat lelaki ditahan dalam satu operasi khas selepas dipercayai cuba menyeleweng lebih 4,000 liter petrol bersubsidi di Jalan Pohon Buluh, di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, berkata operasi dijalankan sekitar jam 2.25 pagi hasil intipan selama seminggu oleh pasukan penguat kuasa KPDN dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.

“Setiap suspek dikesan menggunakan empat buah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback untuk mengangkut petrol yang dipercayai akan diseludup ke negara jiran melalui jalan tidak diwartakan berhampiran sempadan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak berkuasa menemui sebanyak 4,140 liter petrol yang disimpan di dalam 138 tong jerikin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mendapatkan bekalan petrol tersebut dari beberapa stesen minyak di sekitar Pasir Mas sebelum membawanya melalui jalan kampung menuju ke kawasan Tumpat.

“Kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun.

“Empat buah kenderaan turut disita dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM28,487,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

KPDN Kelantan menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam menjalankan operasi bersepadu secara berkala bersama agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan penyeludupan barangan kawalan bersubsidi, khususnya di kawasan berisiko tinggi berhampiran sempadan negeri.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here