Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Suasana di perkarangan Stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) Pasir Mas pagi ini dibanjiri pelbagai lapisan masyarakat yang hadir dari pelbagai daerah di Kelantan.
Mereka datang bagi sama-sama menjayakan Program Kereta api Sarong 2025 sempena sambutan Hari Malaysia.
Suasana di stesen bertukar meriah apabila peserta bergambar, berswafoto, dan saling bertukar senyuman meskipun ada yang baru pertama kali bersua muka.

Kehangatan semangat patriotisme jelas terpancar, bukan sahaja dapat dilihat berdasarkan pemakaian malah menyatukan rakyat melalui budaya dan pengangkutan awam.
Menurut Pengarah Program, Nur Asriniey Asaruddin, sambutan kali ini lebih meriah dengan pembabitan komuniti yang semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Ini tahun ketiga penganjuran di Kelantan dan kita lihat sambutan masyarakat sangat baik. Kalau di Kuala Lumpur memang sudah sinonim, tapi di Kelantan juga suasana cukup meriah. Ia menjadi satu pengalaman baru buat rakyat negeri ini,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV, di sini, hari ini.
Katanya seperti tahun lalu, tiket kereta api diberikan secara percuma kepada pengunjung yang menaiki kereta api dari pelbagai daerah termasuk Tanah Merah, Dabong, Gua Musang, Wakaf Bharu dan Tumpat sebelum berkumpul di Pasir Mas sebagai destinasi utama.
“Seperti tahun lalu kita sediakan tiket percuma kepada pengunjung. Mereka boleh menaiki kereta api secara percuma. Untuk tahun ini kita pilih lokasi di perkarangan tempat letak kereta di KTMB Pasir Mas.
“Jadi peserta dari pelbagai daerah akan menaiki kereta api di stesen masing-masing sebelum turun dan berkumpul di sini,”katanya
Nur Asriniey berkata edisi pertama diadakan di Tambatan Diraja, di Kota Bharu, manakala tahun kedua di Pantai Ndo, Tumpat.

“Tahun ini kita pilih Pasir Mas sebagai lokasi utama, dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Peserta bukan sahaja dapat meraikan Hari Malaysia, tetapi juga menghidupkan semula tradisi pemakaian sarung dalam suasana penuh kebersamaan,” katanya.
Seorang peserta dari Miri, Sarawak tidak melepaskan peluang menyertai program itu.
Edmund Mohajir Anak Empaga, 19, berkata dia datang bersama rakan-rakan dengan menaiki kereta api untuk merasai sendiri pengalaman.

“Hari ini saya datang ke Pasir Mas untuk menyertai program Kereta Api Sarong 2025. Saya bersama rakan-rakan datang ke sini menaiki kereta api.
“Saya hendak rasa benda baharu di tempat baharu. Selain itu, saya juga mahu meneroka suasana di sini,” katanya.
Mengulas suasana sambutan, Edmund menyifatkannya sebagai sangat meriah serta berjaya menyemarakkan semangat kenegaraan dalam kalangan peserta.
“Selain kita sertai Keretapi Sarong, ia juga menyemarakkan semangat patriotik kita sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Nurul Syafikah Sari, 23, dari Kota Bharu tidak ketinggalan memeriahkan sambutan Hari Malaysia menerusi program Keretapi Sarong.
Nurul Syafikah tiba dengan menaiki kereta api pada jam 7.40 pagi berkata penyertaannya kali ini dibuat secara spontan bersama rakan-rakan.

“Sebenarnya, kami tidak membuat perancangan awal. Semalam baru kami merancang hendak datang, siap pergi cari baju di Mydin malam tadi,” katanya.
Menurut Nurul Syafikah, tujuan utama beliau adalah untuk merasai suasana sambutan yang selama ini hanya dilihat berlangsung di negeri lain.
“Sebelum ini saya tengok Kereta api Sarong di Kuala Lumpur dan Selangor. Tahun ini bila ada vibe di Kelantan, saya nak cuba sertai. Semangat untuk sambut Hari Malaysia itu memang ada,”katanya.
Program tahunan itu dianjurkan buat kali ketiga di Kelantan dengan kerjasama Kotak Seni dan KTMB.
IMedikel TV






