Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menambah aset operasi sebuah helikopter jenis AS365 N3 bagi memperluaskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang dikhuatiri lemas di perairan Kelantan sejak Ahad lalu.
Menurut jurucakap Maritim Malaysia, penggunaan helikopter itu penting kerana pencarian dari udara meliputi kawasan lebih luas berbanding menggunakan bot.

“Helikopter diterbangkan dari Lapangan Terbang Subang dan mampu meninjau sehingga 260 batu nautika.
“Selain itu, radius pencarian di laut juga ditingkatkan kepada 152 batu nautika sejak hari pertama kehilangan warga emas berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pantai Geting, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pencarian di laut turut membabitkan tiga aset bot termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain bantuan lima bot nelayan tempatan.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada sebarang petunjuk ditemui.
“Operasi SAR masih diteruskan. Pihak berkuasa Thailand juga sudah dimaklumkan dan mereka bersetuju membantu pencarian di kawasan perairan mereka,”katanya.
IMedikel TV






