Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang ustaz mengajar al-Quran dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan yang berusia enam tahun di sebuah surau di Bachok.
Tertuduh, Muhammad Aiman Ahmad Shakir yang juga imam berusia 28 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya yang berusia enam tahun lima bulan di surau itu pada jam 5.30 hingga 6 petang pada 2 dan 17, Julai lalu.
Bagi pertuduhan ketujuh hingga kesembilan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi anak muridnya yang berusia enam tahun empat bulan di lokasi sama pada jam 6 hingga 6.30 petang, 13 Ogos lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 16(1) Akta tersebut kerana wujud hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala di bawah Seksyen 16(1) pula, tambahan hukuman penjara sehingga lima tahun dan minimum dua sebatan boleh dikenakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan jaminan.
Namun, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar memohon jaminan minimum kerana anak guamnya sudah berhenti mengajar dan masih bujang serta tinggal bersama bapanya di Kok Lanas.
Hakim menegaskan kes itu serius dan menetapkan jaminan RM24,000 dengan seorang penjamin serta passport diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes pada 8 Oktober depan.
IMedikel TV






