LONDON: Rasmus Hojlund dilaporkan semakin hampir meninggalkan Manchester United dengan perpindahan kembali ke Serie A.
Menurut wartawan perpindahan, Gianluca Di Marzio, Napoli bersedia memasukkan klausa pembelian wajib dalam perjanjian secara pinjaman untuk penyerang Denmark itu, bernilai sekitar £39 juta (RM221.1 juta).
Klausa itu dikaitkan dengan jumlah penampilan, jaringan gol dan sama ada Napoli layak ke Liga Juara-Juara musim ini.
Sekiranya perpindahan itu dimuktamadkan, United dijangka menanggung kerugian besar sekitar £33 juta (RM187.1 juta) selepas menandatangani Hojlund dari Atalanta dengan harga £72 juta (RM408.2 juta) hanya dua tahun lalu.
Media Itali turut melaporkan bahawa bekas pemain tengah United, Scott McTominay menghubungi Hojlund untuk memujuknya menyertai Napoli.
Kelab Serie A itu kini sedang mencari penyerang baharu selepas Romelu Lukaku diketepikan untuk tempoh panjang akibat kecederaan paha. Hojlund difahamkan menjadi sasaran utama mereka.
Penyerang berusia 22 tahun itu masih belum diturunkan untuk United musim ini ketika pihak pengurusan kelab terus berusaha mencari jalan keluar untuknya.
AC Milan turut menyatakan minat mendapatkan khidmatnya, selepas Hojlund menjaringkan 10 gol dalam 52 penampilan musim lalu. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






