Home Sukan ENRIQUE PERTAHAN KEPUTUSAN KETEPIKAN DONNARUMMA

ENRIQUE PERTAHAN KEPUTUSAN KETEPIKAN DONNARUMMA

172
0

UDINE, Itali: Jurulatih Paris Saint-Germain (PGSG), Luis Enrique mempertahankan keputusannya untuk mengetepikan Gianluigi Donnarumma menjelang musim baharu, sambil menegaskan beliau memerlukan penjaga gol dengan profil berbeza.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Donnarumma dilihat bakal berpindah selepas PSG menandatangani Lucas Chevalier dari Lille, sebelum Enrique tidak menyenaraikan penjaga gol Itali itu dalam skuadnya bagi perlawanan Piala Super UEFA menentang Tottenham, awal pagi esok.

“Ia sentiasa keputusan yang sukar untuk dibuat. Saya hanya boleh berkata perkara yang baik mengenai Donnarumma,” kata jurulatih Sepanyol itu dalam sidang media di Udine.

“‘Gigio’ tanpa ragu adalah salah seorang pemain terbaik di posisinya. Dia seorang insan yang lebih baik lagi, tetapi kami sedang mencari jenis penjaga gol yang berbeza.

“Matlamat saya adalah untuk memperbaiki pasukan. Ini adalah keputusan saya dan kelab menyokong saya.”

Wartawan Itali lebih tertumpu kepada isu Donnarumma berbanding perlawanan menentang Spurs, namun pengurus PSG itu mula jemu dengan soalan berulang.

“Tiada lagi soalan tentang ini. Ia keputusan saya, keputusan kelab dan kelab menyokong saya,” kata Luis Enrique.

“Kini kami perlu mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak.”

Donnarumma memainkan peranan penting di peringkat akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu ketika PSG meraih trofi buat kali pertama selepas membelasah Inter Milan 5-0 di final.

Donnarumma yang dilaporkan menjadi sasaran Manchester United dan Chelsea mengakui kecewa dengan pengecualian itu.

Skuad kendalian Luis Enrique akan memulakan aksi mempertahankan kejuaraan Ligue 1 hujung minggu ini dengan berkunjung ke Nantes pada Ahad.

Kapten PSG, Marquinhos, yang bersama kelab sejak 2013, mengakui sukar melihat Donnarumma dipaksa meninggalkan kelab.

“Ia sentiasa sukar,” kata Marquinhos kepada pemberita.

“Dalam 12 atau 13 tahun saya di sini, saya melihat perkara sama berlaku kepada pemain penting lain yang terpaksa memilih kelab lain pada penghujung jendela perpindahan dan pergi.

“Hidup memang begitu, bola sepak pun begitu. Sebagai pemain, yang boleh kami lakukan hanyalah memberikan segalanya sehingga minit terakhir selagi kami di sini.” – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here