Home Luar Negara LELAKI WARGA CHINA CUBA SELUDUP KURA-KURA RM4.2 JUTA

LELAKI WARGA CHINA CUBA SELUDUP KURA-KURA RM4.2 JUTA

269
0

NEW YORK: Seorang lelaki warga China berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun kerana cuba menyeludup kura-kura dilindungi bernilai lebih AS$1 juta (kira-kira RM4.2 juta) dari Amerika Syarikat ke Hong Kong.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Wei Qiang Lin, dari Brooklyn, mengaku bersalah pada Isnin di sebuah mahkamah daerah persekutuan di New York, atas kesalahan mengeksport lebih 220 bungkusan mengandungi kira-kira 850 kura-kura kotak timur dan kura-kura kotak tiga jari.

Jabatan Kehakiman berkata, kura-kura hidup itu dibalut di dalam stoking untuk perjalanan selama beberapa minggu dan kotak berisi reptilia itu dilabel sebagai mengandungi “mainan haiwan plastik.”

Katanya, kura-kura itu yang mempunyai nilai pasaran AS$1.4 juta (kira-kira RM5.9 juta) berjaya dipintas oleh penguat kuasa undang-undang di sebuah pusat pemeriksaan sempadan.

“Kura-kura itu mempunyai corak berwarna-warni dan menjadi tarikan berharga dalam pasaran haiwan peliharaan domestik dan asing terutamanya di China dan Hong Kong,” kata Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.

Katanya, haiwan itu dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES).

Hukuman terhadap Lin ditetapkan pada 23 Disember.

Dia berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun, tiga tahun pengawasan selepas pembebasan dan denda sehingga AS$250,000 (kira-kira RM1.06 juta). – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here