Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan tiada individu dilindungi yang terbabit dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya tidak berlengah untuk menjalankan tindakan susulan selepas menerima laporan penuh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes tersebut.
“Tindakan akan diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.
“Kita akan memberi sepenuh perhatian untuk melaksanakan tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan tersebut,”katanya.
Beliau berkata, KPM akan segera menjalankan tindakan susulan itu selepas menerima laporan penuh oleh pihak polis.
“Jadi di peringkat KPM kita ada komitmen itu untuk membuat tindakan susulan daripada hasil siasatan PDRM,”katanya.
Berita kematian Allahyarham Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah menggemparkan negara selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah.
Arwah Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
IMedikel TV






