ATLANTA: Bruno Fernandes meledak satu jaringan dan mencipta satu lagi gol untuk membantu Manchester United mengikat Everton 2-2 sekali gus menjulang trofi Siri Musim Panas Liga Perdana.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian ‘The Red Devils’ meraih satu mata akhir di Atlanta untuk mengungguli carta dengan tujuh mata dalam kejohanan persahabatan pramusim itu selepas menewaskan West Ham 2-1 dan Bournemouth 4-1 dalam dua aksi sebelum ini.
“Kami sedang menunjukkan peningkatan. Saya rasa kelab sedang melakukan yang terbaik yang mereka mampu,” kata Fernandes.
“Kami perlukan lebih banyak persaingan untuk pemain sedia ada. Kami perlukan lebih banyak kualiti supaya semua orang berusaha lebih keras untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Saya rasa itu yang sedang cuba dilakukan oleh kelab dan pengurus, dan kami harap boleh mendapatkan satu atau dua pemain lagi untuk membantu perkara itu.”
Manchester United menamatkan musim lalu di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya 11 kemenangan dan sembilan seri daripada 38 perlawanan untuk mencatat pencapaian paling buruk sejak tersingkir pada musim 1973/74.
“Saya rasa ramai yang terkesan dengan perkara ini. Peminat membayar lebih untuk tiket dan kami sangat menghargai segala usaha mereka.
“Di kelab bola sepak seperti ini, anda tidak boleh melakukan kesilapan di dalam atau di luar padang kerana nama kelab ini terlalu besar di peringkat global.
“Budaya kelab ini ialah menang. Ia pernah wujud dan kami perlu mengembalikannya semula,” katanya.
Pada aksi terbabit, Fernandes menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-19 selepas James Tarkowski menjatuhkan Amad Diallo di dalam kotak penalti.
Iliman Ndiaye berjaya menyamakan kedudukan buat Everton pada minit ke-40 hasil hantaran daripada Idrissa Gana Gueye.
Mason Mount kemudiannya menyudahkan hantaran daripada Fernandes untuk meletakkan United kembali di depan pada minit ke-69.
Namun, Everton kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-75 apabila Ayden Heaven menjaringkan gol sendiri membolehkan Everton menjadikan kedudukan 2-2. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






