MOSCOW: Gunung berapi di timur Rusia meletus buat kali pertama dalam tempoh lebih 500 tahun, yang menurut pakar mungkin berkait dengan gempa bumi besar minggu lalu.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Gunung Krasheninnikov di Kamchatka memuntahkan kepulan abu setinggi enam kilometer dalam semalaman.
Bagaimanapun, Kementerian Kecemasan Rusia memaklumkan tiada ancaman kepada kawasan berpenduduk.
Beberapa jam kemudian, satu lagi gempa bumi besar berlaku di Rusia membawa kepada amaran tsunami di tiga kawasan di semenanjung.
Kedua-dua kejadian mungkin berkaitan dengan gempa bumi besar 8.8 magnitud yang melanda kawasan yang sama minggu lalu, yang menyebabkan amaran tsunami sehingga ke Polynesia Perancis dan Chile.
Pakar Rusia memberi amaran gempa susulan yang kuat mungkin berlaku selama beberapa minggu selepas gempa bumi pada Rabu, yang merupakan antara yang paling kuat pernah direkodkan dan menyaksikan berjuta-juta orang berpindah.
Gempa bumi Ahad lalu berukuran 7.0 pada skala Richter yang melanda Kepulauan Kuril mengakibatkan ombak sehingga 18cm (7 inci), lapor Kementerian Kecemasan Rusia.
Kementerian turut memaklumkan penduduk di tiga kawasan di Kamchatka masih perlu menjauhi pantai ketika ini, meskipun ketinggian ombak rendah.
Letusan terakhir yang direkodkan Krasheninnikov adalah pada abad ke-15, menurut ketua Pasukan Tindak Balas Letusan Gunung Berapi Kamchatka.
Olga Girina memberitahu agensi berita Rusia RIA yang dipetik BBC, ia mungkin dikaitkan dengan gempa bumi berukuran 8.8 magnitud sebelum ini.
Semenanjung Kamchatka adalah wilayah terpencil tetapi terletak dalam Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang tinggi kekerapan berlaku gempa bumi dan gunung berapi. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






