KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu Jalur Gemlang secara terbalik di Sekolah Jenis Kebangaan Cina (SKJC) Chung Hua di Port Dickson, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata pihaknya kini sedang menunggu siasatan penuh berhubung insiden itu.
”Kita sedang menunggu siasatan penuh dan saya ingin menegaskan bahawa sebaik sahaja kita mendapat laporan penuh, kita akan mengambil tindakan tegas.
”Ini kerana isu berkaitan pemasangan bendera ini sudah banyak kali kita ingatkan dan hal itu sepatutnya sudah tidak berulang lagi,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Kepada Murid Tingkatan Enam Semester Satu Tahun 2025 Peringkat Negeri Kelantan, di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Jalan Maktab, di sini, hari ini.
Tegasnya kesilapan sama sepatutnya tidak berulang khususnya ketika negara menuju Hari Kebangsaan.
”Kita sudah mengingatkan berulang kali berkenaan bendera termasuk daripada segi sensitiviti, tanggungjawab dan komitmen.
”Jadi dalam semangat kita menuju Hari Kebangsaan perkara ini sepatutnya tidak berlaku,”katanya.
Media sebelum ini melaporkan sekolah tersebut memohon maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat susulan insiden pemasangan bendera Jalur Gemilang secara terbalik sekaligus menimbulkan kegusaran awam.