Home Buletin Semasa DOF USAHA KURANGKAN KEBERGANTUNGAN TENAGA KERJA ASING

DOF USAHA KURANGKAN KEBERGANTUNGAN TENAGA KERJA ASING

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berusaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing melalui penggunaan teknologi moden, pemerkasaan komuniti nelayan muda serta insentif kepada pengusaha tempatan.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata sepanjang tahun lepas, pihaknya merekodkan seramai 105,287 nelayan yang bekerja di vesel penangkapan ikan berlesen seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 82,464 adalah nelayan tempatan.

“Bagi kategori tenaga kerja asing, sebanyak 22,823 orang direkodkan dengan majoritinya terdiri daripada warganegara Thailand (8,819 orang), diikuti Indonesia (4,154 orang) dan Vietnam (1,623 orang),” katanya.

Jelasnya, kesemua mereka dikawal rapi di bawah Akta Perikanan 1985 [Akta 317] dan tertakluk kepada kuota serta syarat kelulusan yang ketat.

Tambahnya nelayan tempatan adalah tulang belakang industri perikanan negara serta menjadi penyumbang utama kepada sekuriti makanan rakyat dalam negara.

“Sumbangan mereka bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi malah menjamin kelestarian sumber marin negara.

“Kita akan mengangkat dan meraikan peranan besar yang dimainkan oleh nelayan tempatan menerusi Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu bermula 1 Ogos hingga 3 Ogos depan,” katanya.

Jabatan Perikanan Malaysia komited dalam memastikan kesejahteraan komuniti nelayan kekal menjadi agenda utama melalui tadbir urus berasaskan prinsip mampan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here