Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
MACHANG: Jabatan Peguam Negara bercadang mengadakan kelas tambahan dan tuisyen kepada pelajar sekolah menengah di sekitar Pulai Chondong yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi Program Santuni MADANI.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata setakat ini pihaknya sedang mengenalpasti subjek pembelajaran dan guru yang berpotensi untuk mengajar kelas tambahan itu.
“Kita dari Jabatan Peguam Negara berbesar hati menghulurkan bantuan dari segi kewangan atau bantuan untuk kemudahan tuisyen kepada para pelajar terutama yang bakal menduduki peperiksaan.
“Pendidikan merupakan asas utama dalam membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kemajuan sesebuah negara juga bergantung kepada tahap pendidikan rakyatnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santuni MADANI Satu Pemimpin Satu Kampung Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, di sini, hari ini.

Beliau turut memperuntukkan sumbangan sebanyak RM3,000 serta menyerahkan sebuah televisyen pintar bersaiz 65 inci bagi memudahkan urusan pembelajaran di SK Pulai Chondong.
Jelasnya, program itu dapat meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat dalam mengenalpasti isu sosioekonomi dalam aspek taraf hidup, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan infrastruktur selain berbincang kaedah penyelesaian serta keperluan penduduk setempat.
IMedikel TV






