Home Luar Negara NAHAS AIR INDIA: KELUARGA TERIMA MAYAT SALAH, TERPAKSA TANGGUH PENGEBUMIAN

NAHAS AIR INDIA: KELUARGA TERIMA MAYAT SALAH, TERPAKSA TANGGUH PENGEBUMIAN

LONDON: Sekurang-kurangnya dua keluarga mangsa nahas pesawat Air India di United Kingdom (UK) dilaporkan menerima mayat yang salah, menurut peguam yang mewakili mereka.

Sumber di India memaklumkan mayat dihantar dalam keranda tertutup selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan di sebuah hospital kerajaan di Ahmedabad dan syarikat penerbangan tidak terbabit dalam kesilapan itu.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India (MEA) pula menegaskan prosedur yang ditetapkan dipatuhi dalam proses pengecaman jenazah, dan mayat diuruskan dengan penuh hormat.

“Mayat mangsa nahas tersalah dikenal pasti dan dihantar ke UK,” kata seorang peguam dari Firma Keystone Law yang mewakili keluarga terbabit kepada India Today TV.

Kesilapan itu terbongkar apabila koroner di London cuba mengesahkan identiti mayat dengan memadankan DNA si mati, kata peguam itu.

Dalam satu kes, keluarga mangsa terpaksa membatalkan proses pengebumian selepas dimaklumkan mayat diterima bukan ahli keluarga mereka sebaliknya individu lain tidak dikenali.

Menurut peguam itu, satu lagi keluarga menerima jenazah ahli keluarga yang bercampur dengan mayat penumpang lain, yang mana kedua-dua mayat diletakkan dalam keranda yang sama.

“Keluarga berkenaan terpaksa memisahkan mayat dua penumpang terlebih dahulu pengebumian dapat dilakukan.

“Satu keluarga langsung tiada siapa untuk dikebumikan manakala satu lagi terpaksa memisahkan mayat dua individu yang diletakkan dalam keranda yang sama,” kata peguam berkenaan.

Nahas pesawat AI171 milik Air India yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Gatwick, London, terhempas berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad pada 12 Jun lalu mengorbankan 241 orang termasuk 53 warga Britain.

Mayat mangsa yang kebanyakannya rentung dikenal pasti melalui ujian DNA oleh hospital kerajaan di Ahmedabad sebelum diserahkan kepada waris dalam keranda tertutup.

MEA berkata, semua prosedur forensik dan pengecaman jenazah mengikut protokol ditetapkan sudah dilaksanakan dan urusan penghantaran dilakukan dengan penuh hormat dan profesional.

Peguam penerbangan, James Healy-Pratt sedang menyiasat proses pengecaman jenazah yang didakwa dilakukan secara cuai dan tidak tepat.

“Sepanjang sebulan lalu, saya melawat rumah keluarga British ini dan perkara pertama yang mereka mahukan ialah orang tersayang mereka dikembalikan,” katanya yang mewakili ramai keluarga mangsa dari Britain kepada The Daily Mail.

“Namun ada antara mereka yang menerima mayat yang salah dan jelas mereka sangat tertekan dengan situasi ini.

“Perkara ini sudah berlarutan selama beberapa minggu, dan saya percaya keluarga ini berhak mendapat penjelasan,” lapor The Mail yang memetik kenyataan Healy-Pratt.

Seorang waris, Altaf Taju dari Blackburn yang kehilangan ibu bapa dan iparnya berkata, “Kami tidak dapat melihat mayat, mereka cuma kata, ‘Ini ibu kamu’, dan beri kami label.”

Menurutnya, tiga ahli keluarganya dikebumikan awal di India dan dia bersyukur mereka tidak termasuk dalam kes mayat tertukar seperti keluarga lain.

Setakat ini, jenazah 12 penumpang sudah dihantar pulang ke UK manakala yang lain dikebumikan di India mengikut kepercayaan agama masing-masing, lapor The Daily Mail. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here