Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan menyita sebuah lori serta diesel bersubsidi dalam serbuan ke atas satu aktiviti penyelewengan barang kawalan di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim di sini, kelmarin.
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail dalam kenyataan, berkata serbuan yang dijalankan pada jam 2.40 petang itu membawa kepada rampasan barangan bernilai lebih RM15,000 dan pengeluaran dua tindakan kes membabitkan individu serta pengusaha stesen minyak terbabit.
“Dalam kes pertama, seorang lelaki tempatan ditahan bersama sebuah lori jenis Daihatsu Delta bernombor pendaftaran tempatan yang diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan.
“Pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 360 liter diesel bersubsidi di dalam tangki lori berkenaan, yang dianggarkan bernilai RM774, selain dua kad inden, empat helai resit pembelian, serta lori bernilai RM15,000 yang kesemuanya disita,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan diambil mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
Sementara itu, menurutnya kes kedua membabitkan siasatan terhadap pengusaha stesen minyak terbabit yang disyaki melanggar Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana gagal mematuhi arahan Pengawal Bekalan.
“Rampasan turut membabitkan dokumen penting seperti salinan lesen CSA, PDA, SSM dan PBT, buku stok serta dokumen jual beli diesel untuk siasatan lanjut,”katanya.
Menurut KPDN Kelantan, tindakan susulan akan diambil terhadap pengusaha sekiranya siasatan mendapati terdapat penglibatan secara langsung dalam kes penyelewengan tersebut.
IMedikel TV






