PATNA: Sekurang-kurang 33 maut, manakala puluhan lagi cedera akibat dipanah petir ketika ribut monsun melanda timur India, minggu ini.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, menurut Jabatan Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan, kejadian berlaku di Bihar pada Rabu hingga kelmarin ketika ribut kuat membadai.
Katanya, kebanyakan mangsa adalah golongan petani dan buruh yang bekerja di kawasan terbuka.
Hujan lebat dan panahan petir dijangka terus melanda beberapa kawasan di negeri itu dalam tempoh terdekat.
Menteri Pengurusan Bencana Bihar, Vijay Kumar Mandal, memberitahu AFP bahawa pihak berkuasa tempatan telah diarah meningkatkan kesedaran dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan amaran berkaitan petir.
Kerajaan negeri turut mengumumkan pampasan 4 juta rupee kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat panahan petir.
Menurut data kerajaan negeri, sekurang-kurang 243 kematian akibat panahan petir direkodkan pada 2024, manakala 275 kes dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Wilayah timur India, termasuk Bihar, sering dilanda banjir tahunan yang meragut puluhan nyawa serta menyebabkan ratusan ribu penduduk hilang tempat tinggal sepanjang musim monsun.- AFP, BH Online-
IMedikel TV






