Home Buletin Semasa WARGA EMAS SARA ISTERI, EMPAT CUCU OKU HASIL JAJA KRAFTANGAN

WARGA EMAS SARA ISTERI, EMPAT CUCU OKU HASIL JAJA KRAFTANGAN

563
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TUMPAT: Walaupun sudah menjangkau umur 81 tahun tahun, namun Awang Che Bakar, dari Kampung Sedar, di sini, masih lagi meneruskan pekerjaannya sebagai penjaja kraftangan sejak 50 tahun lalu.

Menurut Awang, sebelum ini dia bekerja di Singapura sebagai buruh binaan dengan upah RM11 sehari.

“Selepas itu, saya bersama isteri Mek Yam Sulaiman, 77, pulang ke tanah air. Pelbagai kerja kami buat termasuk menanam sayur dan padi.

“Di usia 30 tahun saya mula menjaja kraftangan yang diambil daripada pengusaha di Cabang Empat, di sini,”katanya.

Katanya pada awal pembabitannya dalam dunia menjaja, Awang hanya memikul barangan tersebut dan mula menjaja dari rumah ke rumah seterusnya dari kampung ke kampung.

Namun, di usia 81 tahun, Awang kini perlu menggunakan kenderaan untuk pergi ke destinasi.

“Kalau dahulu hanya berjalan kaki, tenaga masih kuat, tetapi sekarang saya naik kereta, ada orang datang ambil dan hantar,”katanya.

Menurut Awang, dia mula keluar menjaja bermula jam 7.00 pagi dan akan pulang ke rumah antara jam 3.00 atau 4.00 petang.

Katanya hasil jualannya sekitar RM100 sehari dengan menjual tudung saji, badang, kipas, bakul dan lain-lain hasil kraftangan.

Sementara itu, Mek Yam berkata mereka suami isteri turut menjaga empat cucu Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 21, 19, 17 dan 12 tahun.

“Empat cucu yang kami jaga ini adalah anak kepada anak sulung lelaki. Dia dan isteri bekerja mengambil upah menanam sayur dengan pendapatan tidak seberapa.

“Lagipun ayah kepada cucu kami pernah kemalangan enam tahun lalu menyebabkan dia tidak boleh bekerja berat kerana keadaan kakinya yang sudah tidak normal.

“Jadi saya akan menjaga cucu-cucu di rumah ini. Membantu menguruskan diri dan memasak kepada mereka,”katanya.

Menurut Mek Yam, dia kini mempunyai masalah kencing manis dan darah tinggi manakala suaminya Awang mempunyai masalah pendengaran disebabkan faktor umur.

Tambahnya, walaupun kehidupan mereka sederhana namun tetap bersyukur dengan nikmat yang diberikan.

“Kami tidak berasa terbeban dengan apa yang diberikan malah tetap bersyukur. Ramai orang baik di luar sana yang sentiasa mendoakan kami,”katanya.

Dalam pada itu, Mek Yam lebih selesa menggunakan dapur kayu untuk memasak berbanding dapur gas.

“Sebelum ini pernah guna dapur gas tetapi saya fobia selepas tertidur, dapur gas hangus. Jadi saya memang memilih untuk memasak atas dapur kayu, lebih selamat,”katanya.

Hadir sama dalam kunjungan itu adalah Aktivis Solo Asnaf Hunter dikenali Pok Ku bersama Pengasas I Sejahtera Malaysia, Datuk Hamizan Amzah.

Menurut Pok Ku, dia secara tidak sengaja terjumpa Awang ketika menjalani kandungan sosial media.

“Dari tempat dia menjaja membawa saya ke rumahnya. Dari situ saya melihat kehidupan Awang bersama empat cucu OKU.

“Sebaik saya memuat naik video di media sosial ramai yang menghubungi saya untuk memberi sumbangan kepada Awang.

“Apa yang mengagumkan saya dari sisi seorang lelaki adalah dia bertanggungjawab dan rajin bekerja dan menyayangi keempat-empat cucunya,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here