Home Luar Negara 29 MANGSA MUNGKIN TERPERANGKAP DALAM FERI KARAM

29 MANGSA MUNGKIN TERPERANGKAP DALAM FERI KARAM

360
0

BANYUWANGI, Indonesia: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini meneruskan pencarian mangsa insiden feri KMP Tunu Pratama Jaya yang karam di Selat Bali, lapor portal Kompas.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, mangsa yang masih belum ditemukan dikhuatiri terperangkap di dalam bangkai kapal.

Menurut maklumat senarai penumpang, kapal yang karam pada malam Rabu itu membawa 65 orang. Daripada jumlah itu, 30 orang berjaya diselamatkan, manakala enam orang disahkan meninggal dunia.

Ini bermakna, 29 orang lagi yang belum ditemukan setakat ini.

Timbalan Operasi SAR dan Kesiapsiagaan agensi mencari dan menyelamat Indonesia atau Basarnas, Laksamana Muda TNI Ribut Eko Suyatno berkata, berkemungkinan besar, mangsa terperangkap di dalam kapal.

“Saya belum dapat memastikan kerana pengesahan hanya boleh dibuat selepas pemerhatian bawah air menggunakan ROV (kenderaan selam kawalan jauh) diperoleh,” katanya pada Ahad.

Pada masa ini, data infografik sedang diproses dan Kapal Perang Republik Indonesia (KRI) Fanildo milik Tentera Laut Indonesia (TNI AL) menurunkan ROV untuk tinjauan.

Sementara itu, penyelam sedang menyiapkan peralatan mereka.

Bagi menyokong usaha ini, Basarnas turut menyediakan kapal sokongan operasi berkenaan.

Operasi ini akan mengambil kira faktor keselamatan persekitaran dan tidak mengganggu laluan pengangkutan sedia ada.

“Kami memohon doa supaya operasi SAR dapat kita laksanakan hari ini,” tambah Eko.

Eko menjelaskan, titik lokasi dijangka beralih sejauh 800 meter dari titik awal kapal karam.

Proses mengolah data dan penilaian dijangka mengambil masa sekitar 1.5 hingga 3 jam sebelum keputusan untuk menurunkan penyelam dibuat.

Beliau menyatakan Basarnas sedang berlumba dengan masa dan berharap semua proses dapat dilakukan secara optimum.

Sekiranya operasi SAR ini menemukan mangsa, Basarnas menyediakan laluan evakuasi ke hospital yang disediakan oleh pemerintah daerah, termasuk kemudahan pemeriksaan antemortem di sana. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here