Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: “Tidak pernah timbul soal pertukaran jawatan presiden PAS,” kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya dan beliau menegaskan bahawa parti itu masih memerlukan kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden.
Beliau berkata, bukan sekadar parti tetapi seluruh negara bahkan dunia masih memerlukan kepimpinan tertinggi seperti beliau.
“Buat masa ini seluruh negara akan mengekalkan beliau untuk mengetuai parti, kita sama sekali tidak mendengar soal pertukaran jawatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Jelasnya, asas pencalonan PAS menetapkan bahawa tiada halangan dalam cadangan sesiapa untuk mana-mana jawatan, namun kebiasaannya mereka memilih untuk beri laluan kepada pihak lain.
Beliau berkata proses pencalonan rasmi bagi jawatan peringkat pusat dijangka berlangsung sepanjang bulan Julai dan Ogos.
“Notis baru sahaja dikeluarkan dan kawasan belum lagi buat pencalonan, manakala di peringkat negeri pula akan berlangsung,” katanya.
IMedikel TV






