Home Sukan INTER SINGKIR URAWA, CARBONI MUNCUL WIRA

INTER SINGKIR URAWA, CARBONI MUNCUL WIRA

246
0

PHILADELPHIA: Inter Milan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan 2-1 Urawa Red Diamonds dan menyingkirkan wakil Jepun itu daripada saingan Piala Dunia Kelab, awal pagi tadi.

Di Stadium Lumen Field, Seattle, Ryoma Watanabe membuka jaringan awal buat Urawa yang menerima sokongan padu daripada penyokong fanatik mereka di stadium.

Namun, kapten Inter, Lautaro Martinez yang turut menyumbat gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan Monterrey, kelab dari Mexico dalam aksi pembukaan, sekali lagi mencipta detik magis apabila meledak gol penyamaan menerusi sepakan ‘overhead’ menarik 12 minit sebelum tamat perlawanan.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Valentin Carboni kemudian muncul wira tidak diduga apabila menjaringkan gol kemenangan dua minit sebelum masa kecederaan bermula.

Pemain muda Argentina berusia 20 tahun itu belum pernah beraksi dalam sebarang perlawanan kompetitif sejak awal Oktober lalu akibat kecederaan lutut serius ketika dipinjamkan ke Marseille.

Malah, Carboni belum membuat sebarang penampilan bersama Inter sejak lebih dua tahun lalu, namun kali ini dia tampil tepat pada masanya apabila menyudahkan bola yang terjatuh ke kakinya dalam kotak penalti.

“Pihak lawan bermain sepenuh hati sebagai satu pasukan dan kami perlu bermain dengan lebih bangga, rendah diri dan tahu erti berkorban,” kata Martinez selepas Inter dipaksa bekerja keras untuk kemenangan ini.

Kemenangan itu meletakkan Inter di tangga teratas Kumpulan E dengan empat mata, satu mata mengatasi River Plate sebelum kelab gergasi Argentina itu menentang Monterrey di Pasadena, kemudian.

Sementara itu, kekalahan kedua berturut-turut menyaksikan Urawa Red Diamonds tersingkir awal, dan ramai penyokong mereka dilihat menangis sewaktu wisel penamat ditiup.

“Emosi kami sangat teruk selepas perlawanan ini. Kami tersingkir daripada kejohanan ini, jadi kini hanya tinggal satu misi berjuang untuk satu-satunya kemenangan dalam perlawanan terakhir,” kata jurulatih mereka dari Poland, Maciej Skorza. -AFP, HMetro Online- 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here