PARIS: Ratu pecut 400 meter (m) dunia, Marileidy Paulino dari Republik Dominican mencuri tumpuan apabila menewaskan Salwa Eid Naser dalam perlumbaan dramatik untuk merangkul emas dengan catatan terbaik musim ini, 48.81 saat, sekali gus memecah rekod kejohanan.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, walaupun berdepan masalah kesihatan, Paulino tetap tenang dan meluru ke garisan penamat dengan penuh keyakinan.
“Saya hanya fikir mahu tamatkan perlumbaan dengan kuat, walaupun perut saya kurang selesa,” katanya.
Sementara itu, Faith Cherotich dari Kenya menampilkan prestasi luar biasa apabila ketepikan Peruth Chemutai dari Uganda dalam acara 3,000 meter lari berhalangan, sekali gus merekodkan masa terbaik peribadi 8:53.37, kemenangan ketiga dalam siri Diamond League tahun ini.
“Menang tiga Diamond League sebagai atlet paling muda amat bermakna. Tapi fokus utama saya adalah Kejohanan Dunia di Tokyo,” katanya penuh yakin.
Dalam acara 100m lari berpagar wanita, bintang Nigeria dan pemegang rekod dunia Tobi Amusan terpaksa akur di tempat kedua apabila pelari Amerika Syarikat, Grace Stark, mendahului dari awal hingga ke penamat dengan masa 12.21 saat iaitu rekod peribadi baharunya.
“Saya dah lama nak pecahkan 12.3 saat. Saya tahu tahun ini masanya,” kata Stark yang kini menjadi antara pencabar utama musim ini.
Juara Olimpik Amerika Syarikat, Rai Benjamin, pula melakar catatan 46.93 saat dalam acara 400 meter berpagar lelaki, cukup untuk mengatasi bintang Qatar, Abderrahman Samba.
Benjamin mengakui dia tidak menekan terlalu kuat kerana ingin menjaga kecergasan untuk musim panjang.
Dalam acara lompat tinggi wanita, juara Olimpik Ukraine, Yaroslava Mahuchikh, yang mencipta rekod dunia di Paris tahun lalu, kali ini hanya mampu melakukan lompatan 1.97m dan sekadar menduduki tempat kedua di belakang wakil Australia, Nicola Olyslagers.
Sorakan paling gemuruh malam itu milik pelari tuan rumah, Azeddine Habz, yang memenangi 1,500 meter lelaki dengan masa 3:27.49, sekali gus memecah rekod kebangsaan Perancis dan menjadi catatan keenam terpantas dalam sejarah dunia. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






