Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
PETALING JAYA: TNG Digital Sdn. Bhd. melancarkan Akaun Perniagaan TNG Digital untuk memberi nilai tambah kepada golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam usaha mendorong mereka ke arah pendigitalan.
Pelancaran Akaun Perniagaan itu dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan, pemantauan transaksi dan fleksibiliti yang dipertingkatkan bagi membantu peniaga menguruskan perniagaan mereka dengan lebih baik dan cekap.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh, inisiatif TNG Digital itu sangat memberi sokongan terhadap inisiatif kerajaan seperti Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) bagi mempercepat penggunaan digital dalam kalangan peniaga kecil dan luar bandar.
“Semua pihak termasuk setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan, khususnya peniaga kecil, penjaja, usahawan mikro dan pengguna harian, dalam mendorong perubahan ke arah pendigitalan.
“Ini satu langkah penting ke arah mewujudkan sistem yang lebih mudah diakses, khususnya bagi golongan yang sebelum ini kurang mendapat manfaat daripada kemudahan digital.
“Kementerian akan terus memperkukuh usaha melalui inisiatif ReDI bagi memastikan seluruh rakyat, sama ada sebagai peniaga mahupun pengguna, dapat menikmati kemudahan pembayaran digital atau tanpa tunai secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
IMedikel TV






