Home Buletin Semasa BURUH MENGAKU TIDAK BERSALAH HADAPI TIGA PERTUDUHAN KHIANAT

BURUH MENGAKU TIDAK BERSALAH HADAPI TIGA PERTUDUHAN KHIANAT

339
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang buruh dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan khianat menggunakan api dengan membakar pondok rehat di sebuah kebun pisang dan kelapa di Kampung Bukit Chenda, Gunong, Bachok pada 27 April lalu.

Tertuduh Mohd Fazrul Izuan Mohamad, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapn Hakim Zulkifli Abblah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan khianat menggunakan api iaitu membakar pondok rehat di sebuah kebun pisang dan kelapa milik abangnya hingga menyebabkan kerosakan harta di Kampung Bukit Chenda, Gunong, Bachok pada jam 4 petang, 27 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas abangnya menggunakan sebilah pisau pemotong di tempat sama pada pukul 12.10 malam, 2 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan penjara selama tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, manakala Seksyen 326A Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara dua kali ganda tempoh maksimum ke atas sabitan bagi seksyen yang relevan walau apa-apa hukuman lain diberikan bagi kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau sabit berukuran kira-kira 22 sentimeter (cm) termasuk hulu yang dipegang di tangan kanan dan sebilah pisau berhulu plastik sepanjang 21.4 cm terselit di pinggang tanpa maksud yang sah atau mempunyai kebenaran sah daripada pihak berkuasa di lokasi sama pada 12.10 tengah malam, 2 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here