Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Pernah melalui kulit terbakar akibat matahari atau sunburn? Lebih-lebih lagi kalau bekerja di bawah terik mentari.
Penulis sendiri pernah mengalami sunburn ketika bercuti di sebuah pulau baru-baru ini.
Rasa panas di muka seperti terbakar, dan pada akhirnya, ya kulit penulis sunburn.
Anda nak tahu berapa lama kesan sunburn akan hilang?
Menurut perkongsian di portal hellodoktor, untuk sembuh sepenuhnya daripada kesan sunburn, anda perlu memberikan masa untuk tubuh secara semula jadi menggantikan kulit yang telah rosak.
Terdapat had tempoh masa untuk badan kita melakukan proses ini, tapi anda boleh memaksimumkan proses baik pulih dengan beberapa petua hilangkan sunburn berikut:
- Sapukan krim hidrokortison: Krim hidrokortison digunakan untuk merawat bengkak, kerengsaan, dan kegatalan. Pakar mengesyorkan untuk guna krim ini pada kesan bakar yang teruk bagi mengatasi bengkak dan kesakitan.
- Kekal hidrat: Petua hilangkan sunburn seterusnya meliputi pengambilan air dalam diet harian. Selaran matahari ‘menarik’ kelembapan dari kulit anda. Jadi, minum banyak cecair dan elektrolit dapat bantu menghidrasi semula kulit!
- Cuba kompres/pek sejuk: Meletakkan kompres atau pek sejuk pada kulit sejurus terdedah pada selaran matahari dapat mengeluarkan haba berlebihan dari kulit dan mengurangkan keradangan.
- Cuba mandian oatmeal: Mandian oatmeal juga sebahagian daripada petua hilangkan sunburn yang boleh dicuba! Ia dapat menenangkan kulit dan mengurangkan kegatalan.
- Elak penggunaan tembakau: Merokok atau mengambil tembakau dalam sebarang bentuk berupaya merosakkan proses penyembuhan semula jadi tubuh dengan meningkatkan keradangan di seluruh badan anda. Ya, cakap senang, kan? Tapi jika anda betul-betul tekad ingin berhenti merokok, dapatkan bantuan daripada doktor agar usaha kalian tidak terkubur separuh jalan ya!
- Sapu lidah buaya: Lidah buaya ternyata mengandungi zat, disebut aloin yang dapat mengurangkan keradangan. Lidah buaya juga mampu melembapkan kulit anda dan mencegah pengelupasan!
- Mandi air sejuk: American Academy of Dermatology mengesyorkan mandian bersuhu sejuk sebagai petua hilangkan sunburn kerana ia dapat menenangkan kulit yang merengsa.
Bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif dan senang sunburn lebih baik menggunakan langkah pencegahan awal iaitu menggunakan sunscreen SPF 30 ke atas, sapu 15 hingga 30 minit sebelum keluar.






