Home Luar Negara IRAN TOLAK GENCATAN SENJATA SELAGI DISERANG ISRAEL

IRAN TOLAK GENCATAN SENJATA SELAGI DISERANG ISRAEL

TEHRAN: Iran tidak bersedia untuk berunding mengenai gencatan senjata selagi negara itu masih diserang Israel.

Menurut sumber yang mengetahui perbincangan itu, pendirian terbabit dimaklumkan Iran kepada perantara dari Qatar dan Oman.

“Pihak Iran memaklumkan kepada perantara dari Qatar dan Oman bahawa mereka hanya akan mempertimbangkan rundingan serius selepas selesai memberikan respons penuh terhadap serangan awal yang dilancarkan Israel,” katanya kepada Reuters.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, pegawai itu berkata, Iran menjelaskan pihaknya tidak akan berunding selagi masih berada di bawah serangan.

Pegawai sama turut menafikan laporan media yang mendakwa, Iran meminta Oman dan Qatar untuk memujuk Amerika Syarikat (AS) supaya menjadi orang tengah bagi rundingan gencatan senjata atau memulakan semula rundingan nuklear.

Sementara itu, Kementerian Luar Iran dan Qatar serta tidak Kementerian Penerangan Oman enggan memberi maklum balas mengenai perkara berkenaan.

Untuk rekod, Oman sebelum ini pernah menjadi perantara rundingan nuklear antara AS dan Iran, namun pusingan terbaharu dibatalkan sehari selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Iran.

Qatar pula pernah memainkan peranan sebagai fasilitator antara kedua-dua pihak termasuk memeterai perjanjian pertukaran tahanan pada 2023.

Kedua-dua negara Teluk itu mempunyai hubungan baik dengan Iran dan AS serta pernah berkomunikasi secara langsung dengan Israel.

Israel sebelum ini melancarkan serangan mengejut ke atas Iran pada pagi Jumaat sehingga mengorbankan barisan tertinggi komando tentera Iran dan turut merosakkan beberapa kemudahan nuklear negara itu.

Israel menyatakan, kempen ketenteraannya akan terus dipertingkatkan dalam beberapa hari akan datang.

Iran pula memberi amaran akan membuka ‘pintu neraka’ sebagai tindak balas yang kini menyaksikan pertembungan terbesar antara kedua-dua musuh tradisi itu. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here