Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Menjadi platform media baharu khususnya media dalam talian secara amnya banyak cabaran yang perlu dihadapi pada masa kini.
Penulis merangkap Penerbit IMedikel TV, Nik Nur Zakia Abdullah, berkata dalam era kecepatan dalam talian bagi menyampaikan informasi kepada masyarakat sangat mencabar.

“Kami di IMedikel TV masih muda dalam dunia kewartawanan dalam talian.
“Terdapat banyak media dalam talian tumbuh bak cendawan sehingga hampir menenggelamkan media arus perdana.
“Mereka terlalu cepat menyebarkan maklumat. Masing-masing berlumba-lumba untuk menjadi yang terawal dalam menyampaikan berita.
“Namun, bagi kami yang berpengalaman sebagai wartawan, kami perlu berpandukan penulisan yang mengutamakan etika dan peraturan,”katanya.
Katanya tema Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 iaitu “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” mencuri perhatian penulis.
Menurutnya dalam era serba canggih, ada dalam kalangan pengamal media yang menggunakan teknologi AI.
“Tidak dinafikan ramai yang menggunakan AI, namun kita sebagai wartawan yang beretika perlu menggunakan AI dengan berhemah.
“Jangan terlalu bergantung kepada penggunaan AI, kerana maklumat, data atau statistik perlu dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa,”katanya.
Katanya menjadi wartawan atau pengamal media perlu menyampaikan berita sahih, etika kewartawanan sangat penting dalam penulisan berita.
“Ramai yang hendak jadi wartawan, tetapi kami pengamal media yang mempunyai Kad Perakuan Media masih perlu melaporkan berita sahih berdasarkan fakta,”katanya
Jelasnya, mewakili Berita IMedikel TV, beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) bertindak selaku agensi pelaksana HAWANA 2025 kerana menjemput IMedikel TV ke majlis kemuncak sambutan HAWANA 2025.
“Buat julung kalinya kami di Berita IMedikel TV mendapat jemputan untuk menghadiri majlis kemuncak sambutan HAWANA 2025.
“Saya mewakili barisan IMedikel TV mengucapkan terima kasih kepada pihak terbabit. Kami masih baharu dalam dunia kewartawanan, saya harap ada pihak yang menyokong kami untuk meneruskan karya-karya kami dan menyalurkan berita sahih kepada masyarakat khususnya dalam berita berkaitan kesihatan,”katanya.
Katanya, pihak IMedikel TV berbesar hati untuk menerima jemputan pihak HAWANA untuk program akan datang.
Terdahulu majlis kemuncak itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.

Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
IMedikel TV






