KUALA LUMPUR: Ernie Zakri mendakwa trauma untuk mementaskan konsert selepas diuji masalah kesihatan pada persembahan solo pertamanya, Aura Ernie Zakri Live In Concert, Januari lalu.
Memetik laporan menerusi Berita Harian menghitung hari menjayakan Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 di ibu negara, pada 18 Oktober depan, Ernie atau nama sebenar, Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, mengaku belajar dari pengalaman lalu.
“Bercakap mengenai trauma, tentulah saya trauma dengan apa yang berlaku sebelum ini.
“Kalau boleh, saya tidak mahu berada dalam keadaan itu lagi, bukan keadaan ketika sakit. Saya reda dengan ujian kesakitan itu, namun, bagaimana otak saya berfungsi detik itu. Jadi, kalau boleh, saya tidak mahu melaluinya lagi.
“Banyak yang saya belajar dari pengalaman. Saya harus tambah baik, bukan pada pihak saya, sebaliknya, seluruh pasukan. Apa yang paling penting adalah pastikan rehat secukupnya sebelum konsert,” katanya pada sidang media Konsert Empat Live In Kuala Lumpur di sini, kelmarin.
Pada konsert solo pertamanya itu, Ernie dilapor turut mengalami jangkitan Laringitis, iaitu masalah keradangan pita suara.
Ernie yang popular dengan lagu Ku Bersuara bagaimanapun bersyukur kesihatannya pulih sepenuhnya.
“Buat masa ini, suara saya okay… Alhamdulillah. Kejadian itu terjadi kerana kurang rehat. Apa yang saya belajar, setiap kali sebelum konsert kena dapatkan rehat yang cukup,” katanya.
Sementara itu, Ernie mengakui sebak apabila mendapat peluang berkolaborasi dengan dua penyanyi legenda, iaitu Ziana Zain dan adiknya, Anuar termasuk suaminya, Syamel pada Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025.
“Saya membesar melihat dua figura itu membuat persembahan. Apabila melihat kejayaan Ziana dan Anuar, ia memberi inspirasi kepada saya untuk jadi seperti mereka,” katanya.
Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 akan dipentaskan di Mega Star Arena, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 18 Oktober depan. Konsert itu dibawakan Anuar Zain Network dan Altus ProHouse. – BH Online –
IMedikel TV






