Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Ribut kuat yang melanda kawasan pantai di sini malam tadi menyebabkan lebih 10 batang pokok tumbang dan mengakibatkan kerosakan kepada harta benda di sekitar Kemasin Beach Resort.
Menurut pengusaha resort, Datuk Mohd Rowi Dollah, kejadian berlaku sekitar jam 7.20 malam ketika angin kencang secara tiba-tiba melanda kawasan berkenaan.

“Kejadian ribut berlaku begitu pantas. Saya segera mengarahkan pekerja membuat pengumuman keselamatan supaya semua pengunjung berlindung di bawah restoran berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Katanya dalam kejadian tersebut seorang remaja lelaki berumur 15 tahun turut dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.
Jelasnya antara kerosakan yang dilaporkan termasuk dua kiosk, tiga motosikal, empat buah kereta, enam kenderaan lasak (ATV) serta beberapa buah kerusi dan meja yang ditimpa pokok tumbang.

“Anggaran keseluruhan kerugian dianggarkan sekitar RM70,000,” katanya lagi.
Bagi mengelakkan kejadian berulang, pihak pengurusan resort mengambil langkah segera dengan memotong dahan pokok yang dikenal pasti berisiko tumbang.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira 3,000 pengunjung berada di kawasan itu sebelum diarahkan berlindung di dalam restoran miliknya.
IMedikel TV






