Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Kelantan merampas lebih 1.7 juta batang rokok pelbagai jenis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman LPT Sering, Kampung Babong di sini, pada 7 Mei lalu.
Menurut Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, serbuan dijalankan sekitar jam 10.30 pagi oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui sejumlah 1,721,960 batang rokok pelbagai jenama yang dipercayai barang larangan. Rokok-rokok tersebut disimpan di dalam rumah dan juga di ruang but sebuah kenderaan jenis Toyota Innova.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih RM1.48 juta, membabitkan nilai rokok berjumlah RM286,234, kenderaan RM30,000 dan jumlah duti/cukai terlibat mencecah RM1,165,117.08,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan tersebut digunakan bagi tujuan pengedaran rokok seludup. Modus operandi sindiket dipercayai melibatkan penyewaan premis sebagai lokasi penyimpanan sebelum edaran dibuat kepada pelanggan.

Katanya rokok seludup diklasifikasikan sebagai barang larangan import mengikut Butiran 1, Jadual Ketiga / Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,”katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak terbabit dalam kegiatan penyeludupan kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
JKDM turut menggesa orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat Kastam terdekat. Pihak Kastam memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
IMedikel TV





