Home Buletin Semasa CUACA PANAS TAK HALANG NUR ASSYIRA PERTAHAN PERAK

CUACA PANAS TAK HALANG NUR ASSYIRA PERTAHAN PERAK

124
0

PHNOM PENH: Pelumba berbasikal bukit (MTB) wanita negara, Nur Assyira Zainal Abidin mengulangi pencapaian edisi tahun lalu apabila memenangi pingat perak dalam acara individu cross country di Sukan SEA Kemboja, hari ini.

Acara yang berlangsung di Kulen Mountain, Siem Reap itu menyaksikan Nur Assyira mempamerkan kayuhan bertenaga untuk berada di kedudukan kedua di belakang wakil dari Indonesia, Sayu Bella Sukma Dewi yang meraih emas manakala gangsa milik peserta Thailand, Yonthanan Ponkhla.

Jelas sekali, bahang kepanasan mencecah hampir 40 darjah celcius tidak menghalang Nur Assyira mengekalkan momentum kayuhan seterusnya membawa pulang perak pada acara terbabit.

Pengurus pasukan skuad MTB, Mohd Saiful Abdul Jalil, berkata kejayaan membawa pulang perak boleh dikatakan kejutan memandangkan peserta lain juga cukup hebat selain cuaca cukup panas sekali gus mampu mengganggu tumpuan pelumba.

“Alhamdulillah, Malaysia berjaya membawa pulang perak pada acara ini walaupun pada asalnya tidak meletakkan harapan tinggi.

“Kejayaan ini meniup semangat kepada wakil Malaysia lain dalam acara MTB untuk mencipta keputusan positif pada acara lain,” katanya.

Pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam, tahun lalu, Nur Assyira melakar kejutan apabila mengakhiri saingan di kedudukan kedua untuk membawa pulang perak di belakang pelumba tuan rumah, Dinh Thi Nhur Quyhnh yang memenangi emas manakala seorang lagi pelumba negara, Natasha Soon meraih gangsa.

Sumber: BH Online

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here