Home Hiburan ‘AURA TERUS BERSINAR’

‘AURA TERUS BERSINAR’

493
0

Aktor berpengalaman, Datuk Rosyam Nor menaruh keyakinan faktor usia bukan halangan untuk seseorang pelakon bersinar.

Memetik laporan Harian Metro Rosyam atau pemilik nama, Mohamed Noor Shamsuddin, 58, bersyukur kerana masih diberi ruang selain memiliki aura untuk menarik minat penonton generasi baru mahupun lama.

“Semuanya adalah rezeki daripada Allah SWT. Dahulu, kebanyakan drama hanya mengambil pelakon muda, namun siapa sangka pada usia sekarang saya boleh viral.

“Tidak semestinya yang muda sahaja kena viral. Namun, viral kami disebabkan bakat.

“Pada awalnya, orang benci dan maki saya. Apabila baca semula komen, mereka sebenarnya kagum dengan lakonan saya,” katanya pada majlis pelancaran treler Keluang Man, baru-baru ini.

Rosyam berkata, kejayaan diraih adalah hasil usaha dan kerja keras sepanjang hampir 40 tahun aktif dalam industri seni tanah air.

Katanya lagi, pencapaian berkenaan turut dibantu oleh kekuatan naskhah, gandingan barisan pelakon serta pasukan produksi itu sendiri.

“Tidak dinafikan ada kalanya cerita berkait rapat dengan kehidupan masyarakat mampu mendapat tempat.

“Kebanyakan platform penstriman suka membuat cerita ala-ala Hollywood, tapi akhirnya cerita ‘kampung’ yang meletup.

“Secara tidak langsung ini membuktikan bakat dan peluang adalah sama penting. Alhamdulillah ia mencetus fenomena. Tidak dinafikan setiap pelakon mempunyai impikan dan harapan sebegitu,” kata Rosyam yang mencetus sensasi menerusi lakonannya sebagai Iman dalam drama bersiri Keluarga Itu di TV3.

Mengenai pembabitan dalam filem adiwira ikonik tempatan, Keluang Man pula, Rosyam melabelkan ia adalah naskhah terhebat yang pernah dilakonkannya.

Katanya, bermula dari watak sehinggalah kepada proses pembikinan dan produksi, semuanya diambil kira dengan teliti.

“Menjadi sebahagian dalam Keluang Man. Saya rasa inilah filem adiwira pertama yang saya ada di dalamnya.

“Filem ini dibuat oleh generasi yang baharu, pengarah yang baharu, idea yang baharu tetapi diambil daripada naskhah yang lama.

“Kemudian dikembangkan dalam bentuk layar yang besar dan ini menjadi kebanggaan saya dapat bersama-sama dengan mereka,” ujar Rosyam.

Filem arahan Anwari Ashraf itu menampilkan pelakon hebat tanah air antaranya Nas Muammar Zar, Datuk Remy Ishak, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Halim Othman, Amelia Henderson dan ramai lagi akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei ini. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here