Home Buletin Semasa TENGKU AMPUAN PAHANG MENANG PERTANDINGAN MASAKAN ACAR BUAH, JURI TAK SANGKA AIR...

TENGKU AMPUAN PAHANG MENANG PERTANDINGAN MASAKAN ACAR BUAH, JURI TAK SANGKA AIR TANGAN DIRAJA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MARAN: Pertandingan masakan sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang mencipta kejutan apabila juri pertandingan tidak menyedari bahawa hidangan pemenang tempat pertama adalah hasil air tangan Tengku Ampuan Pahang, Kebawah Duli Paduka Baginda Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi perkongsian di hantaran media sosial Kesultanan Pahang, bekas guru masakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Siti Rokiah Lebai Rahmat, 74 berpengalaman selama 39 tahun dalam perjurian pertandingan masakan, berkata dia tidak menyangka pemenang yang diumumkan atas nama “Aminah Mahmood” sebenarnya ialah Paduka Baginda.

“Saya dan semua peserta tidak tahu hidangan tersebut milik Paduka Baginda. Semua peserta diberi syarat sama iaitu menyediakan hidangan siap dari rumah dan dibawa ke pertandingan ini untuk dinilai mengikut rasa dan kreativiti.

“Saya dan pasukan juri memilih acar buah Aminah Mahmood ini bukan kerana sedap semata-mata tetapi kombinasi bahan-bahan yang cukup sempurna. Tidak berminyak tetapi kuah yang bersalut dengan rasa buah dan rempah ratus. Ini kali pertama saya rasa acar buah yang sedap, sempurna dan lengkap dengan semua bahan,” katanya.

Pertandingan yang berlangsung di Taman Tasik Maran itu menampilkan 11 peserta pada Sabtu lalu dan menetapkan syarat agar semua hidangan disiapkan dari rumah dan dibawa ke pertandingan untuk dinilai.

Kejayaan tersebut mencerminkan bakat masakan semula jadi Paduka Baginda yang sememangnya terkenal dengan minat mendalam dalam masakan yang sering dikongsi di laman sosial.

Sebelum itu, Tengku Ampuan Pahang berkenan mempengerusikan Mesyuarat Agung WI Pahang di Dewan Jubli Perak, Maran, sebelum berangkat ke karnival bersama Che Puan Panglima, Puteri Suraiya Afzan Datuk Indera Mohammed Moizz.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here