KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2025-2028.
Menerusi satu kenyataan, di sini, Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil, berkata sokongan itu dizahirkan beliau bersama 21 AMK cabang seluruh Sabah.
Memetik laporan Berita Harian, katanya, cadangan untuk mencalonkan Nurul Izzah sebagai timbalan presiden adalah satu langkah tepat dan strategik dalam memastikan PKR terus teguh, progresif dan diterima rakyat di semua peringkat.
“Dengan pengalaman beliau sebagai bekas naib presiden selain pernah memegang beberapa portfolio penting dalam parti, Nurul Izzah mampu membawa sinergi baharu dalam memperkukuh jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Ketiadaan beliau dalam Kabinet membolehkan tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha membina kekuatan parti, memperkasa struktur organisasi dan mendekati akar umbi dengan lebih berkesan,” katanya.
Zaidi yang juga Ketua Cabang PKR Kota Marudu, berkata Nurul Izzah sudah lama menjadi ikon perjuangan reformasi yang berprinsip, berani dan konsisten.
Kepemimpinan beliau, katanya mencerminkan nilai-nilai integriti, ketelusan dan keadilan, iaitu nilai asas yang menjadi teras perjuangan PKR sejak ia ditubuhkan.
Sementara itu, katanya menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, AMK negeri mengharapkan kepemimpinan parti di peringkat Pusat dapat memberi perhatian dan sokongan padu kepada usaha memperkukuh jentera PKR Sabah.
“Ini bagi memastikan kita dapat memenangi lebih banyak kerusi dan kita yakin dengan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden akan menyuntik semangat baharu dan hala tuju yang lebih tersusun untuk PKR Sabah serta parti secara keseluruhannya.
“Justeru itu, kami menyeru kepada seluruh anggota dan kepemimpinan PKR di seluruh negara agar bersama-sama memberikan sokongan penuh kepada Nurul Izzah sebagai calon Timbalan Presiden PKR bagi sesi 2025–2028,” katanya.
Sokongan terhadap Nurul Izzah sebagai calon Timbalan Presiden PKR itu disuarakan Ketua AMK dari cabang Kudat, Kota Marudu, Batu Sapi, Beaufort, Beluran, Keningau, Kimanis, Kinabatangan, Kota Belud, Kota Kinabalu, Libaran, Papar, Penampang, Pensiangan, Ranau, Sepanggar, Silam, Tawau, Tenom, Semporna dan Kalabakan. – BH Online –
IMedikel TV






