Home Hiburan KRU KEMBALI MENGGEGAR

KRU KEMBALI MENGGEGAR

Axiata Arena Bukit Jalil bergema dengan sorakan ribuan peminat KRU pada malam Konsert GenKRU yang berlangsung dengan gilang-gemilang.

Ribuan penonton dari pelbagai lapisan umur memenuhi ruang stadium, menjadikan malam itu sebagai detik bersejarah bukan hanya buat KRU, bahkan buat semua yang pernah menjadi sebahagian daripada fenomena muzik era 90-an dan awal 2000-an.

Suasana malam itu ibarat sebuah pesta masa lalu yang kembali hidup. Ada yang hadir mengenakan busana ala KRU ketika zaman kemuncak mereka yang mencerminkan zaman kegemilangan muzik rap, pop dan R&B tanah air.

“Terima kasih kepada semua yang hadir dan terus-menerus memberikan sokongan kepada kami.

“Mungkin ada dalam kalangan anda pernah menonton konsert pertama kami suatu ketika dulu dan kini kembali di konsert ini,” kata Edry.

Konsert selama lebih dua jam itu menyaksikan lebih 20 buah lagu dipersembahkan, termasuk himpunan karya malar segar yang menjadi lambang kepada identiti KRU.

Antara yang paling mencuri perhatian sudah tentu lagu Fanatik, Ohh! La! La!, Babe dan Jangan Lafazkan yang dinyanyikan penuh semangat, lengkap dengan koreografi rancak yang menjadi ‘trademark’ kumpulan adik-beradik ini.

Apa yang menjadikan Konsert GenKRU begitu istimewa adalah sentuhan kreatif dan perancangan rapi dalam menyusun senarai lagu.

Bukan sekadar membawa lagu sendiri, KRU turut memberi penghormatan kepada karya ciptaan mereka untuk artis lain.

Antara yang dipersembahkan ialah Untukmu (Feminin), Sedetik Lebih (Anuar Zain), Kekasih Separuh Masa (The Lima), Romancinta (Mojo) dan Hi Hi Bye Bye (Ezlynn).

Setiap lagu diiringi sorakan dan nyanyian bersama penonton, membuktikan betapa karya mereka merentas zaman dan genre. Salah satu detik paling mengujakan malam itu ialah apabila Adam AF2 muncul di pentas untuk berduet dengan KRU menerusi lagu Terhangat di Pasaran, yang dulunya menjadi lagu tema popular.

Kehadiran kumpulan Elite yang dianggotai Abby Abadi, Azza, Watie, Sasha dan Linda Rafar turut menjadi kejutan manis, seolah-olah menghidupkan kembali era kegemilangan industri hiburan tanah air dengan aura glamor dan semangat ‘sisterhood’ yang masih utuh.

“Konsert GenKRU ini rasa seperti sebuah ‘reunion’. Bukan saja ‘reunion’ untuk kami bertiga, tetapi juga untuk anda semua yang mengikuti perjalanan karier seni kami sejak dulu sehingga ke hari ini,” kata Yusry.

Walaupun terdapat beberapa lagu yang tidak sempat dimuatkan dalam persembahan, susunan keseluruhan konsert tetap memuaskan.

Transisi antara segmen dilakukan secara lancar, memperlihatkan pengalaman dan profesionalisme ketiga-tiga anggota KRU.

Tiada ruang kosong atau saat membosankan, setiap babak diisi dengan tenaga dan dedikasi yang tinggi.

Tidak cukup dengan vokal mantap dan kehadiran pentas yang memukau, persembahan malam itu turut disempurnakan dengan iringan muzik secara langsung daripada barisan pemuzik berpengalaman.

Pujian harus diberikan kepada mereka atas kebolehan menghidupkan semula lagu-lagu klasik dengan nafas segar tanpa mengorbankan memori dan susunan asal yang lama tersemat dalam hati peminat.

Pentas dan pencahayaan juga memainkan peranan penting dalam mencorakkan suasana nostalgia yang dirindui ramai.

Skrin gergasi memaparkan klip lama, visual dinamik dan latar sinematik yang menambahkan kesan dramatik pada setiap persembahan.

Terdapat saat-saat menyentuh emosi apabila visual zaman muda KRU ditayangkan sambil mereka menyanyikan lagu balada.

Konsert ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi juga satu penghargaan kepada sejarah seni tanah air.

KRU membuktikan bahawa bakat, kerja keras dan kekuatan identiti seni mampu menjadikan sesuatu kumpulan kekal relevan, meskipun zaman berubah dan industri berevolusi.

Dengan penuh rendah hati, KRU menutup malam itu dengan ucapan penuh makna dan lagu terakhir, Awas yang menggamit emosi penonton.

Ramai yang berdiri, memberi tepukan gemuruh dan ada juga yang menahan sebak, satu petanda bahawa malam itu bukan sekadar konsert, tetapi satu peristiwa yang akan terus dikenang.

Konsert GenKRU bukan hanya menjadi titik temu peminat lama dan baru, tetapi turut menjadi bukti bahawa muzik yang lahir dari jiwa, akan kekal dalam jiwa. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here