Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Menjadi ayah dan ibu adalah impian bagi pasangan suami isteri. Namun menjadi ibu ayah di zaman ini sangat mencabar.
Anak-anak membesar selaras dengan teknologi terkini yang mungkin lebih maju daripada pemikiran si ibu dan ayah itu sendiri.
Sajian di media sosial termasuk rancangan di televisyen juga boleh mempengaruhi anak-anak.
Para penggiat seni termasuk pempengaruh secara tiada segan silu menyajikan perbuatan soft porn secara terbuka.
Sebagai ibu bapa, kita perlu bertindak untuk menjelaskan kepada anak-anak kecil kita akan perbuatan itu.
Namun, ada sesetengah ibu bapa lebih banyak berdiam diri tanpa penjelasan kepada anak-anak berkenaan perbuatan itu membuatkan anak tertanya-tanya, kenapa mereka tidak boleh menonton adegan tersebut.
Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, ibu bapa perlu memberi penjelasan kepada anak-anak supaya mereka tahu dan maklum berkenaan pendidikan seksual.
Tidak salah untuk kita para ibu bapa untuk memberi kefahaman berkenaan hal itu supaya mereka faham.
Perkongsian portal hellodoktor berkenaan sebab anak-anak perlu diberi pendedahan awal berkaitan pendidikan seksual bukan bermaksud terus membincangkan hubungan intim secara terperinci.

Sebaliknya, ia bermula dengan pengenalan tentang maksud seksual, sempadan tubuh badan, dan perbezaan antara sentuhan yang selamat dan tidak selamat.
Kanak-kanak yang memahami hak tubuh badan mereka lebih berani mengatakan “tidak” kepada sentuhan yang tidak diingini, sekali gus mengurangkan risiko gangguan seksual.
Memberi pendidikan seksual awal membantu mereka mengenali bahaya pengantunan (grooming) – satu proses manipulasi yang sering digunakan oleh pemangsa.
Menurut pakar perkembangan kanak-kanak, pendidikan seksual asas boleh bermula seawal usia 3 hingga 5 tahun. Pada tahap ini, ajarkan:
- Nama betul bahagian tubuh badan
- Bahagian yang dianggap ‘peribadi’
- Konsep persetujuan (“awak boleh kata tidak kalau tak selesa”)
- Perbezaan antara rahsia ‘baik’ dan ‘jahat’
Apabila anak memahami maksud seksual dalam bentuk asas ini, sudah tentu mereka lebih peka terhadap situasi yang mencurigakan.
Dengan pendekatan berperingkat, maklumat boleh dikembangkan mengikut perkembangan usia dan tahap kefahaman mereka.
Bila anak memasuki usia 9 tahun ke atas, adalah masa sesuai untuk memperkenalkan konsep yang lebih kompleks seperti:
- Perubahan tubuh badan (baligh)
- Hubungan berasaskan hormat dan persetujuan
- Risiko gangguan seksual dan definisi amang seksual
- Bahaya maksud pengantunan dalam hubungan sosial, terutama dalam dunia maya
Remaja perlu tahu bahawa bukan semua orang yang bersikap mesra itu berniat baik.
Mereka juga perlu tahu bahawa tiada sesiapa berhak menyentuh mereka tanpa kebenaran.
Kita sebagai ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan berkenaan pendidikan seksual kepada anak-anak dan penerimaan daripada mereka sendiri.

Jika kita memilih untuk bersikap terbuka, anak-anak akan selesa untuk bercerita kepada ibu bapa mereka.
Sebagai ibu bapa, kita perlu mendengar setiap keluhan atau cerita yang disampaikan anak-anak tanpa menghakimi mereka dan terus menyekat mereka untuk berkongsi atau pertanyaan soalan berkenaan seksual.
Kita perlu menjelaskan kepada mereka sehingga mereka faham apa yang perlu dan tidak perlu dilihat atau didengar.
Jadi, pendidikan awal seksual adalah amat penting untuk anak-anak. Kita perlu memberitahu bahagian tubuh yang perlu dijaga sama ada kepada anak lelaki juga perempuan.
IMedikel TV






