Home Buletin Semasa TRS DITERUSKAN, FOKUS BANTU CALON SPM SELURUH KELANTAN

TRS DITERUSKAN, FOKUS BANTU CALON SPM SELURUH KELANTAN

334
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan meneruskan pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) untuk tahun kedua berturut-turut, selepas kejayaan cemerlang yang dicapai pada tahun pertama pelaksanaannya.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat TRS yang dipengerusikan beliau baru-baru ini.

“Program TRS yang dilaksanakan pada tahun lalu menarik penyertaan 1,350 calon SPM dari semua 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan.

“Melihat kepada sambutan positif dan peningkatan prestasi pelajar, kerajaan negeri bersetuju untuk meneruskannya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, sesi tuisyen akan dijalankan secara intensif bermula Oktober nanti, iaitu setiap Jumaat dan Sabtu selama dua bulan.

Katanya jumlah jam pembelajaran disusun secara fleksibel mengikut keperluan dan keselesaan pelajar.

Beliau berharap pelaksanaan TRS tahun ini akan terus memberi impak positif kepada pelajar, khususnya mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kerjasama antara agensi-agensi ini diharapkan dapat memastikan program berjalan lancar dan memberi manfaat maksimum kepada para pelajar, khususnya yang bakal menghadapi peperiksaan utama.

“Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik anak-anak Kelantan dan menyemai minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan, Kamaruzaman Mohamad serta wakil daripada Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. (KIGSB), Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN), dan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here