SELEPAS hampir dua tahun mengumumkan persaraannya daripada industri seni, pelakon popular Hairul Azreen terus menjadi perhatian ramai apabila kini lebih memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga dan perniagaan.
Memetik laporan Harian Metro keputusan drastik yang diambil Hairul selepas 15 tahun bergelar anak seni bukan sahaja mengejutkan dunia hiburan, malah membawa perubahan besar dalam kehidupan isterinya, Hanis Zalikha.
Hanis juga usahawan dan personaliti media sosial tidak menafikan kehidupan mereka kini jauh berbeza berbanding sebelum ini.
Melihat Hairul sentiasa berada di sisi, Hanis menyifatkan fasa ini sebagai momen yang sangat berharga, terutama dalam membesarkan dua anak mereka, Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah.
Hanis berkata, masa depan anak-anak adalah keutamaan mereka sekeluarga.
“Sekarang saya rasa hidup lebih sempurna. Memang seronok sebab kami ada dua anak yang sedang membesar. Ini adalah fasa yang paling penting untuk sentiasa ada bersama anak-anak.
“Saya rasa bila anak-anak dah masuk remaja, dah masuk universiti, masa itu mereka dah ada kehidupan sendiri.
“Kita dah tak boleh didik atau luangkan masa sepenuhnya macam sekarang. Mereka dah ada kawan dan aktiviti sendiri,” katanya.
Tambah Hanis, dia menyifatkan keputusan Hairul untuk bersara adalah waktu yang sangat tepat.
“Allah beri ilham kepada dia. Bukan macam jentik hati nak berhijrah, tapi Allah datangkan inspirasi untuk dia bersara awal.
“Saya tak sangka sebab dia sangat cintakan kerjaya filem ini. Buktinya kalau anda pernah temu bual dia fasal filem, anda akan tahu betapa bersungguh-sungguh dia dalam setiap projek.
“Tapi, bila dia boleh fikir mengenai keluarga dan buat keputusan sebegitu, saya terkejut.
“Kita tak boleh ubah minat seseorang. Itu datang dari dalam diri dia sendiri. Tapi, bila dia kata nak betul-betul fokus jaga keluarga, saya sangat tersentuh,” katanya.
Dalam masa sama, Hanis berkata, Hairul adalah individu yang sangat komited terhadap pendidikan dan aktiviti anak-anak mereka.
“Saya sendiri tak tahu jadual kelas tambahan anak-anak. Apa saja aktiviti sukan yang dilakukan semua Hairul yang uruskan. Dia yang buat jadual dengan jurulatih.
“Melihat Hairul yang sangat komited saya bersyukur dan berterima kasih sebab dia sangat ambil berat dan berdedikasi untuk anak-anak,” katanya.
Selain berkongsi mengenai keluarga, Hanis juga mengulas mengenai kenyataan Hairul baru-baru ini yang menyentuh mengenai cara mereka mengekalkan keharmonian rumah tangga walaupun sudah hampir sedekad berkahwin.
Antara amalan sering dilakukan sejak awal perkahwinan adalah Hairul akan menghantar mesej romantis kepada Hanis setiap malam sebelum tidur walaupun tinggal serumah.
“Kami sentiasa berusaha untuk hargai satu sama lain. Kami sedar betapa berharganya apa yang kami ada. Saya sedar betapa bernilainya suami saya dan begitu juga dia.
“Jadi, kalau ada apa-apa isu, kami akan duduk berbincang. Masa bercinta boleh mesej romantik dan bercakap berjam-jam, bagi saya selepas kahwin pun perkara itu lebih penting,” katanya.
Menurut Hanis, mereka menyedari pentingnya komunikasi sejak awal perkahwinan.
“Kami sedar dari awal kahwin lagi. Setiap perkara kena ada komunikasi yang jelas.
“Kami saling menghargai. Sebab kita tak tahu jodoh kita sampai bila. Hanya Allah yang tahu. Jadi, sementara ada, tunjukkan kasih sayang itu,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






