BERLIN: Penyerang England, Harry Kane, akhirnya menamatkan kemarau trofi sepanjang kariernya semalam selepas memastikan kejuaraan Bundesliga bersama Bayern Munich dalam musim keduanya di kelab itu.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Kapten England itu, yang dua minggu lalu memecahkan rekod liga dengan menjaringkan gol ke-60 dalam 60 perlawanan liga pertamanya untuk Bayern, turut berpeluang menjadi pemain pertama dalam sejarah Bundesliga yang dinobatkan penjaring terbanyak dalam dua musim pertamanya berturut-turut.
Keputusan seri 2-2 Bayer Leverkusen menentang Freiburg semalam memberikan Bayern kelebihan lapan mata yang tidak boleh dikejar lagi, ketika berbaki hanya dua perlawanan musim ini. Bayern pula seri 3-3 di RB Leipzig pada Sabtu lalu.
Diiktiraf sebagai salah satu penyerang terbaik generasinya, penjaring terbanyak sepanjang zaman England dan kedua tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL), Kane memenangi pelbagai anugerah individu.
Namun, dia tidak pernah memenangi sebarang trofi pasukan walaupun menjaringkan lebih 400 gol untuk kelab dan negaranya, sehingga wujud cakap-cakap tentang ‘sumpahan trofi’ yang menghantui Kane selama bertahun-tahun.
Segala-galanya berakhir semalam apabila Bayern mengesahkan kejuaraan liga Jerman ke-34 mereka dan yang ke-33 sejak Bundesliga diperkenalkan selepas keputusan Leverkusen menentang Freiburg.
Kane tidak bermain pada Sabtu kerana digantung selepas mengutip kad kuning kelima minggu lalu, dan hanya mampu menyaksikan dari tempat duduk penonton sebelum gol penyamaan lewat Leipzig menjejaskan sebarang rancangan sambutan Bayern.
Kane menghabiskan sebahagian besar karier profesionalnya di Tottenham Hotspur, bermain untuk kelab London itu dari 2009 hingga 2023 dengan beberapa siri pinjaman, sebelum berpindah ke Bayern menerusi perpindahan rekod liga bernilai 100 juta euro (RM480 juta).
Di England, dia gagal memenangi sebarang trofi bersama Spurs, termasuk hanya menjadi naib juara Liga Juara-Juara Eropah pada 2019, selain tewas dalam dua final berturut-turut bersama skuad kebangsaan di Euro 2020 dan 2024.
Justeru, perpindahannya ke Bayern yang juga juara Jerman terbanyak dan juara Eropah enam kali adalah misi untuk menambah trofi ke dalam koleksi anugerah jaringan serta memenuhi impian menjulang gelaran.
Namun dalam musim pertamanya, Bayer Leverkusen melakar kejayaan berganda domestik tanpa kalah, sekali gus menamatkan dominasi kejuaraan 11 musim berturut-turut Bayern, dan sekali lagi mencetuskan naratif ‘sumpahan Kane’.
Musim ini, bagaimanapun, tiada yang mampu menafikannya apabila dia meledak 24 gol liga sebelum perlawanan Sabtu lalu untuk membantu Bayern mengekalkan kedudukan teratas liga sepanjang sebahagian besar musim. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






